Shakedown Sepang Menutup Tirai – Menanti Ujian Rasmi

31 Jan 2026 • 6:57 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Shakedown Sepang Test menutup tirai dengan keputusan keseluruhan memberikan gambaran lebih jelas tentang kekuatan setiap pengeluar menjelang musim baharu MotoGP.

Aleix Espargaro muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan shakedown selepas mencatat masa 1:57.173 pada hari ketiga, sekali gus memberi petanda bahawa jentera Honda semakin kompetitif dan berpotensi kembali mencabar kelompok hadapan. Pol Espargaro pula terus membuktikan kestabilan KTM apabila hanya 0.126 saat di belakang, menunjukkan pakej mereka sudah berada pada tahap yang sangat baik walaupun diuji oleh pelumba test.

Yamaha jelas memanfaatkan status konsesi dengan menurunkan pelumba sepenuh masa seperti Fabio Quartararo, Jack Miller dan Alex Rins. Kehadiran mereka bukan sahaja membantu pembangunan jentera, malah ketiga-tiganya konsisten berada dalam kelompok terpantas sepanjang ujian.

Perhatian turut tertumpu kepada rookie juara Moto2, Diogo Moreira, yang tampil semakin meyakinkan terutama pada hari ketiga. Catatan masanya membuktikan beliau cepat menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP dan berpotensi menjadi antara pencabar menarik apabila musim bermula.

Toprak Razgatlioglu juga memperlihatkan perkembangan positif dari hari ke hari. Walaupun jurangnya sekitar satu saat daripada masa terpantas, tahap adaptasinya terhadap jentera MotoGP menunjukkan beliau semakin selesa dan mampu menghampiri kelompok elit.

Secara keseluruhan, kebanyakan masa terpantas hadir pada hari terakhir apabila keadaan trek semakin baik dan pasukan mula memberi tumpuan kepada prestasi sebenar. Jurang masa yang rapat di barisan hadapan turut memberi bayangan bahawa persaingan musim baharu berpotensi menjadi lebih sengit, dengan beberapa pengeluar dilihat sudah menemui arah pembangunan masing-masing.

Selepas tamatnya shakedown ini, semua pelumba bakal berehat seketika sebelum kembali ke Sepang bagi menghadapi ujian rasmi yang akan berlangsung pada 3 Februari nanti. Ujian tersebut dijangka memberikan gambaran lebih tepat tentang hierarki sebenar MotoGP sebelum tirai musim dibuka. Penonton boleh datang menonton Sepang Test secara percuma namun hanya perlu membayar Tiket Parking RM10 untuk kereta dan RM5 untuk Motosikal.

The post Shakedown Sepang Menutup Tirai – Menanti Ujian Rasmi appeared first on TW Media.