
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, petang ini berhubung dakwaan menerima wang daripada ahli perniagaan, Albert Tei.
Perkembangan itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi media semalam.
Difahamkan, Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu sepatutnya memberi keterangan semalam, namun gagal kerana mempunyai urusan yang belum selesai di Sabah.
Shamsul Iskandar adalah seorang daripada tiga individu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video perbualan antara seorang wanita dan Albert Tei yang tular baru-baru ini.
Wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, sudah hadir di Ibu Pejabat SPRM jam 2 petang semalam dan setakat jam 8 malam, proses merakam keterangannya masih belum selesai.
Albert pula dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan pada Isnin ini.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan Albert kononnya beliau menyerahkan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu selepas diyakinkan wang yang disalur kepada beberapa ahli politik di Sabah dapat diperoleh semula.
Turut didedahkan ialah tangkap layar perbualan WhatsApp dan beberapa gambar yang dikatakan menjadi bukti menyokong dakwaan berkenaan.
Pada 25 November, Shamsul Iskandar meletak jawatan dan ia disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar didakwa melepaskan jawatan susulan cubaan menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani. - 28 November, 2025
The post Shamsul Iskandar ke SPRM beri keterangan petang ini appeared first on Scoop.
