
Minggu perlumbaan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) kali ini sememangnya mencabar dan memberi pengalaman bermakna kepada dua pelumba muda negara, Sharf Muhriz dan Adam Danial. Kedua-dua pelumba menunjukkan peningkatan positif sejak sesi latihan bebas (FP1 & FP2) dengan catatan masa peribadi yang lebih baik berbanding pusingan sebelum ini.
Dalam sesi kelayakan, Adam Danial berjaya mencatat masa ke-12 terpantas sekaligus mengesahkan kedudukan petak grid yang kompetitif. Sementara itu, Sharf Muhriz berdepan sedikit cabaran apabila terpisah daripada kumpulan besar pelumba dan menamatkan sesi di kedudukan ke-17.
Perlumbaan pertama (Race 1) berlangsung dalam keadaan cuaca baik dan menyaksikan aksi bertenaga daripada Sharf yang bermula dari petak ke-17. Beliau berjaya melakukan beberapa aksi pintas berani dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-11. Adam pula bermula sedikit perlahan dan tidak berpeluang untuk menyertai kumpulan hadapan, menamatkan saingan di luar kelompok 10 terbaik.
Bagi Race 2, saingan lebih sengit ditampilkan apabila Sharf berjaya berada dalam kelompok pertengahan dan berjuang untuk kedudukan keenam. Namun, malang menimpa apabila beliau terjatuh akibat high-side di pusingan ke-10 ketika berada di kedudukan ketujuh. Adam yang bermula dari petak ke-12 pula cuba mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan dan menamatkan saingan di tempat ke-13.
Menurut Sharf Muhriz (#6), minggu perlumbaan kali ini memberikan banyak pengajaran dan pengalaman baharu. “Minggu perlumbaan ini memang sangat mencabar, tetapi ia memberi saya pengalaman berbeza daripada perlumbaan sebelum ini. Walaupun bermula dari belakang, saya berjaya memulakan perlumbaan dengan baik dan mengikuti pelumba-pelumba lain yang laju. Untuk Race 2, saya sangat kecewa kerana berada dalam keadaan yang baik sebelum terjatuh akibat high-side. Walaupun kecewa, perlumbaan ini tetap pengalaman yang menarik bagi saya,” jelasnya.
Sementara itu, Adam Danial (#19) turut berkongsi pandangannya selepas dua perlumbaan yang mencabar. “Untuk Race 1 dan Race 2, saya bermula agak lewat, menyebabkan saya dipintas pelumba lain dan terlepas peluang untuk menyertai kumpulan top 10 di hadapan. Namun, saya cuba mengejar semula kedudukan saya walaupun agak sukar, dan fokus saya adalah untuk mengekalkan konsistensi pace sepanjang perlumbaan,” katanya.
Walaupun keputusan belum mencapai sasaran, kedua-dua pelumba negara terus menunjukkan peningkatan positif dan kesungguhan tinggi di atas litar. Dengan baki satu pusingan terakhir Asia Talent Cup yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 24 hingga 26 Oktober 2025, Sharf dan Adam dijangka tampil lebih bersedia, apatah lagi dengan kelebihan beraksi di laman sendiri di hadapan penyokong tempatan.



The post Sharf Muhriz dan Adam Danial Hadapi Cabaran Sengit Di Asia Talent Cup appeared first on TW Media.
