Sharifah Amani Sah Bernikah Dengan Jejaka CEO Pilihannya, Ahmed Faris

10 Sep 2022 • 11:40 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmed Faris Amir dan Sharifah Amani Syed Zainal Rashid - Gambar Zaidi Mohamad

Hanya dengan sekali lafaz, pelakon, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 36, sah bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34, pada majlis tertutup di sebuah premis acara, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

Pada majlis pernikahan berkonsep rona putih yang dihadiri 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga. 

image is not available

Antara rakan yang hadir pada majlis pernikahan Amani adalah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.

Malam ini, Ahmed Faris dan Sharifah Amani diraikan pada majlis resepsi di lokasi sama.

Jun lalu, Sharifah Amani yang pernah meraih trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-19 melalui filem Gubra pada 2006, bertunang dengan Ahmed Faris.

Melalui hantaran Instagram (IG), Sharifah Amani pernah berkongsi foto memaparkan cincin di jari manis dan kelibat jejaka di belakang yang dipercayai tunangnya.  - Getaran, 10 September 2022