Sharp telah melancarkan AQUOS R10 yang dilengkapi cip Snapdragon 7+ Gen 3 serta yang dihasilkan menerusi kerjasama Leica. Peranti dilengkapi skrin 6.5″ Pro IGZO OLED FHD+, 120Hz dan menyokong paparan Dolby Vision. Ini dipadankan pula dengan memori 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512GB UFS 4.0 (microSD sehingga 2TB) dan bateri sebesar 5000 mAh. Bateri ini walau bagaimanapun hanya mengecas pada kuasa 36W.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dan ultra sudut lebar 50MP sementara di hadapan pula kamera swafoto 50MP digunakan. Lensa Leica digunakan pada kamera utrama.
Sokongan AI generatif terbina membolehkan pengguna mengasingkan kata kunci daripada perbualan dan menyimpannya sebagai nota. Peranti ini bukan sahaja kalis air dan habuk dengan ketahanan IPX5/IPX8/IP6X, malah memenuhi piawaian MIL-STD-810G untuk memastikan ia tahan lasak.

Sistem operasi yang digunakan ialah Android 15 dengan sokongan tiga versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti. Peranti turut dilengkapi sistem speaker stereo yang hadir dengan Dolby Atmos.
AQUOS R10 turut menyokong Osaifu-Keitai, NFC, nano SIM + eSIM DSDV, serta kad microSD untuk kelebihan tambahan. Peranti ini dijangka mula dijual di Jepun, Taiwan, Singapura, dan Indonesia bermula Julai 2025.
