
Shein Catat Rugi AS$99 Juta, Perniagaan Terjejas Selepas AS Tamatkan Polisi 'De Minimis'
Gergasi e-dagang fesyen dari China, Shein, dilaporkan mencatatkan kerugian suku tahunan sebanyak AS$99 juta (kira-kira RM420 juta) selepas pertumbuhan jualannya mula perlahan susulan perubahan dasar perdagangan di Amerika Syarikat (AS).
CNBC Indonesia melaporkan, prestasi syarikat itu terjejas selepas pentadbiran Presiden Donald Trump menamatkan dasar 'de minimis', yang sebelum ini membenarkan barangan import bernilai rendah memasuki AS tanpa dikenakan duti import dan cukai.
Menurut laporan kewangan pra-penyenaraian awam (pra-IPO), Shein merekodkan kerugian bagi suku pertama tahun 2026, berbeza dengan tempoh sama tahun lalu apabila syarikat itu mencatat keuntungan bersih sebanyak AS$395 juta (kira-kira RM1.68 bilion).
Shein sebelum ini berkembang pesat di pasaran antarabangsa menerusi model perniagaan yang menghantar produk terus dari kilang kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.
Model itu membolehkan syarikat menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding pesaing, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di beberapa negara.
Di Indonesia misalnya, kerajaan mengambil langkah menyekat kemasukan platform seperti Shein dan Temu kerana bimbang model perniagaan mereka menjejaskan daya saing usahawan tempatan serta mewujudkan persaingan yang tidak seimbang, lapor CNBC Indonesia.
Baca juga:Namun, cabaran terbesar Shein kini datang daripada perubahan dasar perdagangan di AS.
Sebelum ini, dasar 'de minimis' membenarkan bungkusan bernilai kurang daripada AS$800 memasuki negara itu tanpa dikenakan cukai import.
Selepas pengecualian tersebut ditamatkan, produk keluaran China yang dijual oleh Shein dan dihantar ke AS kini dikenakan tarif antara 10 peratus hingga 87.5 peratus.
Menurut syarikat itu, perubahan dasar tersebut memberi kesan besar terhadap pertumbuhan keseluruhan perniagaan selain meningkatkan kos operasi.
“Sebagai tindak balas terhadap peningkatan duti dan cukai, kami sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk menaikkan harga produk di pasaran AS bagi mengimbangi sebahagian daripada peningkatan kos,” menurut Shein dalam dokumen berkenaan.
Selain AS, Shein turut berdepan tekanan di pasaran Eropah apabila Kesatuan Eropah (EU) memperkenalkan duti import sebanyak 3 euro bagi barangan e-dagang bernilai rendah.
Menurut Suruhanjaya Eropah, langkah itu diambil bagi mengekang persaingan tidak sihat daripada produk import murah dari China.
Dalam perkembangan sama, Shein dilaporkan telah memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China untuk meneruskan penyenaraian sahamnya di Hong Kong.
Bagaimanapun, syarikat yang beribu pejabat di Singapura itu masih belum mendedahkan jumlah saham yang akan ditawarkan, harga tawaran awal (IPO) serta anggaran dana yang dijangka diperoleh menerusi proses penyenaraian tersebut.






