Shell App Kini Menawarkan Sokongan BUDI95

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2025 • 11:57 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Shell hari ini mengumumkan penawaran integrasi BUDI95 melalui aplikasi rasmi mereka. Dengan adanya integrasi ini, proses pembayaran menjadi lebih lancar kerana subsidi boleh diakses terus melalui aplikasi tanpa memerlukan sebarang langkah manual di pam. Di samping itu, pengguna berpeluang memperoleh mata ganjaran eksklusif yang ditawarkan sekali gus memberikan nilai tambahan kepada mereka.

image is not available

Kaedah Mengaktifkan BUDI95 Dalam Shell App

Bagi pengguna yang pertama kali menggunakan aplikasi ini, proses pendaftaran perlu dilakukan melalui Shell Asia App yang boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store. Seterusnya, pengguna perlu melalui beberapa langkah tambahan termasuk pendaftaran kad BonusLink bagi melengkapkan akses serta penggunaan sepenuhnya.

image is not available

Sekiranya pengguna telah memiliki kad tersebut, ia akan dipautkan secara automatik dengan akaun sedia ada. Selain itu, aplikasi Touch ‘n Go eWallet perlu dipautkan dengan Shell App sebelum subsidi RON95 dapat digunakan. Namun demikian, harus diingat bahawa pautan ini tidak bermaksud TNG eWallet boleh digunakan untuk membuat pembayaran petrol melalui Shell App kerana proses tersebut semata-mata bertujuan untuk mengesahkan identiti serta kelayakan BUDI95.

image is not available

Hal ini kerana beberapa maklumat daripada TNG seperti status pengesahan akaun, jenis ID, nombor ID dan nombor telefon akan dikongsi dengan Shell App. Keadaan ini berbeza dengan Setel yang bersifat kendiri dan boleh melakukan eKYC secara terus melalui aplikasinya. Bagaimanapun, menurut Shell dalam perkongsian ringkas sebentar tadi, keadaan ini berlaku kerana TNG merupakan rakan strategik mereka. Pada masa yang sama, mereka ingin memastikan pautan tersebut lebih selamat.

image is not available

Sebelum meneruskan proses, pengguna akan diminta untuk memasukkan maklumat akaun bank bagi tujuan transaksi pembayaran. Untuk melakukannya, pengguna perlu menekan butang Check BUDI95 pada skrin utama dan seterusnya memilih Continue pada paparan Access BUDI95 bagi memulakan proses pautan.

image is not available

Pada masa ini, Shell App hanya menyokong penggunaan kad kredit atau kad debit untuk pembayaran minyak. Walaupun aplikasi ini turut menyokong Shell Card, kemudahan tersebut bagaimanapun hanya ditawarkan kepada pelanggan perniagaan. Sekiranya langkah ini telah dilakukan sebelum ini, aplikasi akan seterusnya meminta pengguna membuka TNG eWallet.

Langkah berikutnya ialah memasukkan nombor MyKad dan menekan butang Proceed. Selepas itu, masukkan kod OTP enam digit yang dihantar ke telefon pengguna. Seterusnya, lengkapkan proses pengecaman wajah, yang juga boleh ditetapkan kemudian jika diperlukan. Setelah proses berjaya, paparan Authorisation Successful akan muncul. Pada masa yang sama, pembayaran sementara sebanyak RM1 akan ditolak daripada akaun bank yang telah dipautkan.


Kaedah Pembayaran BUDI95 Melalui Shell App

Proses pembayaran BUDI95 melalui Shell App sangat mudah. Pertama, pengguna hanya perlu menekan butang Pay for Fuel dalam aplikasi. Seterusnya, sahkan mesej keselamatan, masukkan nombor pam dan pilih jumlah minyak sambil memastikan pilihan BUDI95 telah diaktifkan. Setelah pembayaran disahkan, paparan ‘Pump is Ready’ akan tertera dan pada masa yang sama pengguna diberikan kira-kira empat minit untuk mengisi petrol ke dalam kenderaan.

image is not available

Untuk membuat semakan baki BUDI95, pengguna hanya perlu menekan semula butang Check BUDI95 dan seterusnya memilih View Balance. Paparan BUDI Balance akan ditunjukkan yang merangkumi baki subsidi, jumlah liter yang masih boleh ditebus serta nilai bayaran yang berbaki untuk dijadikan rujukan.


Penggunaan Shell App untuk mengisi petrol BUDI95 bukan sahaja menjimatkan masa malah lebih mesra pengguna kerana semua proses dilakukan secara digital. Semua proses termasuk pengesahan subsidi BUDI95, dilaksanakan terus dalam aplikasi sekali gus mengurangkan keperluan dokumen fizikal seperti MyKad atau interaksi manual di kaunter. Pada masa yang sama, setiap pembayaran direkodkan dalam Shell App untuk rujukan pengguna.

image is not available
image is not available

Selain itu, Shell kini menawarkan kempen menarik dengan hadiah berupa baucar bernilai sehingga RM2,000,000. Kempen ini berlangsung sehingga 31 Disember 2025 dengan syarat pengguna perlu membuat pembayaran minimum RM10 bagi pembelian Shell FuelSave 95 menggunakan pembayaran kad. Seterusnya, pengguna juga berpeluang memperoleh baucar Shell bernilai RM5 tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.