hamden05/08/2026 - 12:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sabah Shell Petroleum Company Ltd. (SSPC) bersetuju meneruskan fasa 3 penerokaan telaga pengeluaran minyak baharu di medan Malikai (Malikai Fasa 3) di luar pesisir laut dalam Sabah.
Keputusan pelaburan muktamad (FID) yang dibuat anak syarikat Shell plc itu sekali gus memperkukuh komitmen syarikat terhadap pembangunan sektor huluan minyak dan gas di Malaysia.
Dalam kenyataan, syarikat itu berkata pembangunan fasa ketiga itu melibatkan penggerudian empat telaga pengeluaran minyak baharu itu selain meningkatkan jumlah rizab minyak yang boleh diperoleh daripada medan Malikai, ia turut menyokong strategi Shell untuk mengekalkan pengeluaran cecair petroleum sekitar
1.4 juta tong sehari menjelang 2030 dan seterusnya.
Apabila siap, projek tersebut dijangka meningkatkan pengeluaran minyak di Malikai sebanyak 60%, daripada kira-kira 25,000 tong sehari ketika ini kepada sekitar 40,000 tong sehari, dengan pengeluaran dijangka bermula pada suku ketiga 2028 (3Q2028).
Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia, Siti Sulaiman berkata, keputusan pelaburan itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang Shell terhadap Malaysia.
"Keputusan pelaburan muktamad bagi pembangunan Malikai Fasa 3 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang Shell di Malaysia.
"Kami berharap dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi pelaburan dalam projek yang berdaya saing dan berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS dan rakan usaha sama atas keyakinan serta sokongan berterusan mereka, selain berharap kerjasama strategik itu dapat diteruskan bagi menyokong pembangunan industri tenaga negara.
Menurut Shell, syarikat itu kekal komited menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia serta agenda peralihan tenaga melalui pelaburan yang berdaya saing di bawah seliaan Malaysia Petroleum Management (MPM), PETRONAS.
Medan Malikai, yang mula beroperasi pada 2016, merupakan platform Tension Leg pertama di Malaysia. Ia terletak kira-kira 100 kilometer dari pantai Sabah pada kedalaman air sekitar 500 meter.
Projek itu dibangunkan menerusi usaha sama antara SSPC dan Shell Sabah Selatan Sdn. Bhd. yang memiliki pegangan 35%, ConocoPhillips Sabah Ltd. (35%) serta PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (30%).
Bagi pembangunan Malikai Fasa 3, Shell akan terus menggunakan teknologi single combo riser yang pertama kali diperkenalkan menerusi Malikai Fasa 1 sebelum diaplikasikan semula dalam Fasa 2 pada tahun 2021.
Teknologi tersebut dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi serta mengoptimumkan pembangunan medan air dalam berkenaan. - DagangNews.com


