Shila Amzah mohon maaf, akui kekurangan konsert di luar bidang kuasa

LocalEntertainment
16 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Shila Amzah mohon maaf, akui kekurangan konsert di luar bidang kuasa

PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah, memohon maaf atas beberapa kekurangan teknikal yang berlaku ketika Konsert Shila Amzah Kita 25 Tahun di Arena of Stars, Resorts World Genting, malam tadi.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 37, berkata, pihaknya sudah melakukan sedaya upaya bagi memastikan perjalanan konsert berlangsung lancar, namun beberapa perkara yang berlaku berada di luar bidang kuasanya.

“Buat yang menghadapi masalah sebelum bermulanya konsert semalam, bunyi yang kurang memuaskan dan LED belakang yang tidak disediakan lirik, saya mohon ampun dan maaf kepada kalian kerana terpaksa mengalami perkara itu.

“Sesungguhnya saya dan pasukan sudah berhempas pulas untuk melakukan apa yang kami mampu di belakang tabir. Apa yang diterjemahkan di atas pentas adalah di luar bidang kuasa kami,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Bagaimanapun, penyanyi Patah Seribu itu seolah-olah memberi bayangan wujud kekecewaan yang terpaksa dipendam berhubung perjalanan konsert berkenaan, selain berharap semua pihak yang terlibat mengambil iktibar dan melakukan penambahbaikan.

“Setiap konsert kami mahu berikan yang sehabis baik. Namun, sejujurnya terlalu banyak yang tidak dapat dicoretkan.

“Oleh itu, saya nak minta maaf sangat-sangat atas apa sahaja kekurangan yang kalian rasakan.

“Semoga semua pihak boleh refleksi diri dan memperbaiki apa yang demi
mengangkat dan memartabatkan produk seni Malaysia,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Shila turut memaklumkan beberapa anggota keluarganya yang hadir pada malam berkenaan terpaksa dipindahkan tempat duduk ke bahagian belakang.

Sebelum ini, beberapa pengunjung konsert menerusi media sosial meluahkan rasa terkilan apabila berlaku masalah berkaitan tempat duduk sehingga mereka terpaksa berdiri pada awal persembahan.

Malah, terdapat juga pengunjung yang tidak berpuas hati dengan sistem bunyi konsert yang didakwa tidak seimbang dengan suara penyanyi.

Bagaimanapun, peminat tetap terhibur dengan persembahan Shila yang menyampaikan kira-kira 40 lagu, selain menampilkan artis undangan, Mimifly dan Hael Husaini.

Dalam konsert berkenaan, Shila turut mendedikasikan segmen khas sebagai penghormatan kepada tiga legenda muzik yang banyak memberi inspirasi sepanjang 25 tahun perjalanan karier seninya, iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Raja Pop, Michael Jackson dan bintang terkenal Taiwan kelahiran Malaysia, Fish Leong. – UTUSAN

The post Shila Amzah mohon maaf, akui kekurangan konsert di luar bidang kuasa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved