Shin Yang bakal serah tiga lagi kapal sokongan laut tahun ini

21/04/2025 - 12:25
Gambar/Shin Yang Group Bhd
KUALA LUMPUR 21 April - Shin Yang Group Bhd (SYG) dijangka menyiapkan dan menyerahkan tiga lagi kapal sokongan luar pesisir (OSV) untuk industri minyak dan gas tahun ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Richard Ling berkata, dengan nilai kontrak keseluruhan sekitar RM134 juta, satu daripada kapal tersebut adalah untuk pelanggan tempatan, manakala dua lagi untuk pelanggan dari Arab Saudi.
Beliau berkata, anak syarikat SYG, Shin Yang Shipyard Sdn Bhd, menerima banyak pertanyaan berkaitan pembinaan OSV baharu dan kerja kitar semula kapal lama, memperlihatkan permintaan berterusan terhadap kapal-kapal untuk menyokong operasi luar pesisir syarikat minyak utama dan kontraktor.
"Kami terus membuat bidaan bagi kontrak pembinaan OSV baharu baik daripada pelabur tempatan atau antarabangsa," katanya seperti yang dilaporkan StarBiz.
Tambahnya, terdapat kekurangan tempahan baharu bagi pelbagai jenis OSV dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun syarikat melihat peluang untuk mengisi jurang tersebut melalui tawaran pembinaan serta penggantian kapal lama.
Beliau turut menjangkakan peningkatan yang sihat dalam jumlah tempahan kapal dalam beberapa tahun akan datang.
"SYG kini memberi fokus kepada pembinaan OSV bernilai tambah dengan rekaan yang lebih inovatif.
"Antara kapal yang sedang dibina ialah bot laju 42 meter untuk operasi luar pesisir yang direka khas bagi kontraktor petroleum," jelasnya.
Ling menambah, syarikat juga sedang membina kapal tunda dan sokongan untuk kawasan cetek yang menggunakan sistem diesel-elektrik dan memenuhi piawaian mesra alam daripada American Bureau of Shipping.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perdana Petroleum yang berpusat di Sarawak, Jamaludin Obeng berkata, kekurangan bekalan OSV di Malaysia kini mendorong syarikat untuk merancang pembaharuan armada secara strategik.
Jelas beliau, Petronas turut menyuarakan kebimbangan terhadap bilangan kapal lama yang tinggi dalam industri OSV dan memberi amaran tentang risiko jika kekurangan kapal baharu berterusan dalam beberapa tahun akan datang.
Perdana Petroleum, anak syarikat Dayang Enterprise Holdings Bhd, mengendalikan sebanyak 15 OSV setakat 2023, termasuk lapan kapal tunda sauh, lima tongkang kerja dan dua kapal kerja penginapan.
Sementara itu, Sealink International Bhd yang turut berpusat di Miri berkata, bekalan OSV terus berkurangan, mewujudkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran.
Syarikat itu menjangkakan trend berkenaan akan terus meningkatkan permintaan terhadap OSV, khususnya untuk menyokong aktiviti penerokaan, penggerudian dan pembangunan dalam sektor minyak dan gas tempatan bagi jangka sederhana dan panjang.
Kekurangan kapal OSV di pasaran juga telah melonjakkan kadar sewa harian dan menyumbang kepada peningkatan ketara keuntungan Perdana Petroleum dan Sealink.
Selain pembinaan kapal, Shin Yang Shipyard turut menjalankan perniagaan membaik pulih kapal yang kukuh.
Sepanjang 2023, ia menyiapkan kerja baik pulih besar dan kecil melibatkan 556 buah kapal.
Minggu lalu, Shin Yang Shipyard menyerahkan KM Banggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Sabah selepas menyiapkan kerja baik pulih dan naik taraf kapal peronda pesisir pantai itu dengan nilai kontrak sekitar RM60 juta.
Pengarah Eksekutif Shin Yang Shipyard, Vincent Ling Lu Yew berkata, kerja baik pulih dan naik taraf KM Banggi disiapkan tepat pada masanya dan mengikut bajet, walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
KM Banggi adalah projek baik pulih terbesar yang pernah dilaksanakan oleh Shin Yang.
Kapal itu mula dibawa ke limbungan pada Mac 2023 dan kerja naik taraf melibatkan pemasangan enjin dan kipas penggerak.
Ujian penerimaan di pelabuhan dan di laut dilaksanakan masing-masing pada Februari dan Mac tahun ini. - DagangNews.com
standard



