Harga minyak sawit mentah diramal kekal rendah berbanding kacang soya hingga suku ketiga - penganalisis

21/04/2025 - 16:30
KUALA LUMPUR 21 April - Harga minyak sawit mentah (MSM) yang kini kembali lebih murah berbanding minyak kacang soya dijangka kekal sehingga suku ketiga tahun ini, menurut penganalisis.
Ia sekali gus menamatkan tempoh lima bulan luar biasa sejak November lalu, di mana MSM dijual lebih mahal berbanding minyak kacang soya.
Harga yang lebih kompetitif itu mencetuskan sedikit peningkatan dalam import dari India dan permintaan dari China juga dijangka meningkat, susulan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Ketua penyelidikan CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang, menjangkakan MSM akan terus dijual pada harga lebih rendah daripada minyak kacang soya hingga sekurang-kurangnya Oktober 2025, berikutan pengeluaran yang masih tinggi.
"Selagi bekalan terus meningkat, kami jangka harga MSM akan kekal lebih menarik berbanding minyak masak lain," katanya kepada The Edge.
Seorang pedagang kanan dari firma dagangan IcebergX Sdn Bhd pula berkata, kelebihan harga berkenaan mungkin bertahan sehingga September depan, apabila pengeluaran minyak kacang soya biasanya mula meningkat mengikut musim.
Minyak kacang soya juga digunakan dalam pengeluaran bahan api bio di AS dan pasaran kini menanti hala tuju dasar bahan api negara itu yang sedang dirangka, yang boleh mempengaruhi bekalan global.
Dr Sathia Varqa dari Fastmarkets Palm Oil Analytics pula berkata, harga minyak kacang soya juga disokong oleh perang perdagangan AS-China, yang menyebabkan China beralih kepada Brazil sebagai sumber bekalan utama.
Namun, menurut HLIB Research, permintaan dari China iaitu ekonomi kedua terbesar dunia juga, boleh beralih kepada minyak sawit, walaupun buat masa ini tiada pemacu permintaan jelas untuk sektor itu.
Firma itu mengekalkan penilaian 'neutral'.
Seorang pedagang IcebergX berpendapat, harga MSM dijangka berada antara RM4,400 hingga RM4,600 setan pada suku keempat, dengan purata tahunan sekitar RM4,300 setan.
Data Bloomberg menunjukkan niaga hadapan MSM bagi bulan ketiga susut lebih 10% daripada paras tertinggi tahun ini iaitu RM4,463 setan pada 19 Februari lalu.
Susulan harga yang semakin lembap dan ketidaktentuan pasaran ekuiti global akibat ketegangan perdagangan, Indeks Perladangan Bursa Malaysia juga telah jatuh lebih 5% daripada paras tertingginya tahun ini pada 7,609.70 mata (28 Februari 2025).
Namun, menurut Kenanga Research, penurunan harga berkenaan sudah dijangka.
Ia mengekalkan penarafan 'overweight' bagi sektor perladangan kerana nilainya yang masih menarik dan sifatnya yang defensif.
Tambahan pula, pertumbuhan bekalan untuk kebanyakan minyak makanan dijangka kekal perlahan, kecuali minyak kacang soya.
Harga MSM yang lebih rendah itu juga sudah mula menarik minat pembeli utama dunia iaitu India.
"Sejak akhir Mac hingga awal April, kami lihat ada peningkatan minat beli dari India. Pasaran India amat peka terhadap harga.
"Jika trend ini berterusan, permintaan dijangka semakin meningkat," kata penganalisis CGS International, Jacqueline Yow.
India mengimport sebanyak 3.03 juta tan minyak sawit Malaysia setakat 2024, menyumbang 17.9% daripada jumlah eksport negara, menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Secara lazimnya, MSM dijual pada harga lebih rendah berbanding minyak kacang soya sepanjang tahun, kecuali tempoh singkat sekitar Mac atau April.
Namun dari Disember hingga Mac lalu, MSM mengalami keadaan luar biasa apabila harganya melebihi minyak kacang soya sehingga pada satu ketika mencecah lebih RM441 setan.
Lonjakan harga ketika itu disebabkan kebimbangan bekalan dari pengeluar utama, Malaysia dan Indonesia, selain pelaksanaan dasar biodiesel B40 oleh Indonesia yang mewajibkan campuran 40% minyak sawit dalam diesel.
Bagaimanapun, trend tersebut berubah sejak beberapa minggu lalu, dengan minyak kacang soya kini kembali dijual pada premium sekitar RM157.36 setan berbanding MSM.
Malah, pada satu ketika sebelum ini, minyak kacang soya pernah dijual sehingga lebih RM874.27 setan lebih mahal.
Keadaan itu berlarutan selama 10 bulan, dari Mei 2023 hingga Mac 2024. - DagangNews.com
standard
