Shopback dan Curlec Bekerjasama Untuk Memudahkan Integrasi Bayaran Dan Promosi Untuk Perniagaan Atas Talian

TechnologyDigital
9 Jul 2025 • 6:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda sering membuat pembelian di atas talian, nama-nama seperti Shopback dan Curlec sudah pastinya anda kenali. Curlec ialah gerbang pembayaran atas-talian oleh Razorpay, manakala Shopback dikenali ramai sebagai platform untuk mendapatkan rebat wang dan juga pelbagai tawaran menarik lain apabila membuat pembayaran.

Terkini. kedua-dua platform ini telah menandatangani kerjasama untuk menggunakan kepakaran masing-masing untuk membolehkan perniagaan atas-talian di Malaysia untuk memudahkan proses pembayaran pelanggan disamping memperlihatkan tawaran-tawaran yang dilihat akan menggalakkan perbelanjaan di kedai mereka.

Curlec menguasakan gerbang pembayaran kira-kira 3000 perniagaan atas talian tempatan, manakala Shopback pula mempunyai sekitar 6 juta pengguna di Malaysia. Dengan gabungan perkhidmatan pembayaran Shopback Pay dan gerbang pembayaran Curlec, perniagaan-perniagaan tempatan boleh mendapat akses kepada pangkalan pelanggan Shopback dan sekaligus memperlihatkan pelbagai tawaran dan rebat wang tambahan melalui kepakaran syarikat tersebut.

image is not available

Vincent Wong, Pengurus Besar ShopBack Malaysia mengatakan “ShopBack Pay memperlihatkan cara baru rakyat Malaysia boleh membeli-belah dan menjimat wang. Melalui kerjasama bersama Curlec, kami juga menambah nilai kepada perniagaan dan pelanggan melalui rebat wang dan pelbagai tawaran-tawaran lain.”

“Perniagaan dan para pelanggan yang menggunakan Shopback boleh memanfaatkan penggunaan aplikasi Shopback, kempen bersasar dan promosi eksklusif yang akan menarik minat pelanggan baru dan juga mengekalkan mereka yang sudahpun menggunakan Shopback untuk sekian lamanya.”

Untuk menyambut kerjasama ini, Shopback menawarkan pengguna-pengguna baru platform tersebut rebat sebanyak RM15 untuk sebarang pembelian di kedai-kedai atas-talian yang menggunakan gerbang pembayaran Curlec dengan tiada had minima pembelian.