Kerajaan Akan Memperkenalkan Undang-Undang Anti Ulat Tiket Konsert

TechnologyDigital
9 Jul 2025 • 3:52 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia dilihat sebagai salah satu destinasi konsert yang sedang membesar di rantau Asia Tenggara, dengan nama-nama seperti Taylor Swift, Coldplay, dan pada tahun depan, My Chemical Romance akan ke tanah air untuk membuat persembahan.

Salah satu isu terbesar yang diperlihatkan ialah berkenaan ulat tiket, ataupun scalper yang sering membeli tiket-tiket konsert ini secara banyak, dan kemudian menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi. Sehingga kini, terdapat ramai pengunjung konsert telah terpaksa membayar harga mahal, ataupun ditipu bulat-bulat dan ini menyukarkan hidup semua yang terlibat yang mahu menjayakan konsert-konsert ini.

image is not available

Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia baru-baru ini mengatakan bahawa timbalan beliau, Teo Nie Ching telah berbincang dengan sejumlah pihak, termasuklah syarikat-syarikat penjual tiket tempatan dan Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) untuk membanteras kegiatan ulat tiket ini, khususnya untuk acara-acara yang diadakan di lokasi-lokasi dalam negara.

Beliau mengatakan bahawa pemangkin untuk usaha ini adalah jualan tiket konsert Coldplay pada tahun 2023 yang memperlihatkan ramai peminat tempatan kugiran tersebut tidak dapat membeli tiket konsert kerana semua tiket-tiket konsert tersebut telah disambar oleh ulat tiket dan dijual semula pada harga yang lebih mahal.

Isu ulat tiket ini juga bukanlah sesuatu yang baru cuma kebelakangan ini, dengan konsert-konsert berprofil tinggi yang telah dan akan berlangsung di Malaysia, “perniagaan” menjual semula tiket konsert ini semakin lumayan dan membebankan peminat-peminat artis yang hanya mahu menikmati konsert tanpa perlu membayar wang terlalu banyak untuknya.

Menurut beliau lagi, di antara langkah-langkah yang akan cuba diperkenalkan untuk membanteras kes-kes ulat tiket ini ialah dengan pengesahan identiti di pintu masuk acara ataupun konsert dengan butiran pembelian yang dibuat. Di negara-negara lain seperti Jepun dan Singapura, kaedah sama digunakan di lokasi-lokasi tertentu untuk memastikan tiket yang dibeli bukanlah dari ulat tiket.

Perkara ini dilihat masih lagi berada dalam fasa perbincangan, dan tidak diketahui lagi bila ia akan dibentangkan di sidang Parlimen. Ia diharap membolehkan peminat-peminat artis tempatan untuk membeli tiket tanpa perlu bersaing dengan ulat-ulat tiket.