‘Show pertama Hijjaz nyanyi 32 lagu’

LocalMusic
13 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Show pertama Hijjaz nyanyi 32 lagu’

BERBAKI beberapa hari sahaja lagi, kumpulan nasyid legenda tanah air, Hijjaz bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali mendendangkan sebanyak 32 buah lagu menerusi konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang berlangsung pada 16 dan 17 Oktober ini.

Rancak membuat persiapan akhir menjelang konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya itu, penyanyi utama Hijjaz, Munif Ahmad mengakui jumlah lagu yang banyak menjadi antara cabaran terbesar buat mereka.

Menurutnya, perkara tersebut sememangnya menimbulkan kerisauan, namun setiap anggota berusaha menjaga stamina sejak sebulan lalu bagi memastikan mereka tidak ‘pancit’ ketika menjayakan persembahan.

“Hijjaz akan menyampaikan 32 buah lagu termasuk yang dibuat secara medley, manakala artis jemputan kebanyakannya akan menyanyi satu lagu solo mereka dan satu lagu duet bersama kami.

“Sepanjang hayat 30 tahun Hijjaz, kami tak pernah lagi buat satu persembahan sampai 32 lagu dan ini kali pertama.

“Memang risau sebab saya yang pegang dan pimpin lagu-lagu tersebut tetapi berserah kepada Allah SWT dengan berharap kesihatan kami berempat berada pada tahap terbaik pada hari kejadian,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, setiap anggota Hijjaz kini mengambil inisiatif mempertingkatkan stamina menerusi aktiviti kecergasan harian seperti berjoging dan mengayuh basikal bagi memastikan lontaran suara serta pernafasan berada dalam keadaan baik.

“Setakat ini kami buat persiapan masing-masing untuk latihan vokal, pernafasan dan senaman sedikit, ada kayuh basikal dan lari sedikit, sampai pening kepala.

“Syukur juga persembahan kami hanya banyak berdiri, lontaran vokal dan berkomunikasi, bukannya melompat macam konsert rap yang lebih melelahkan.

“Tapi stamina memang kami jaga rapi, tak mahulah ‘pancit’ ketika menyanyi sebab kalau boleh mahu sentiasa beri persembahan terbaik kepada peminat yang hadir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, memiliki ratusan karya sepanjang tiga dekad perjalanan Hijjaz turut menjadi cabaran buat mereka dalam memilih lagu yang sesuai untuk dipersembahkan pada konsert tersebut.

“Daripada 200 hingga 300 lebih lagu Hijjaz, kami sudah buat pilihan. Sukar nak pilih tetapi kali ini ada juga kami bawa lagu yang tidak pernah dipersembahkan daripada album-album awal.

“Seingat saya, hampir 20 tahun juga kami tak nyanyi lagu daripada album pertama dan kedua.

“Jadi kami perlu berlatih menyanyi lagu-lagu lama itu, ada yang sudah lupa lirik tetapi insya-Allah kami cuba usahakan,” jelasnya.

Pada malam tersebut, persembahan Hijjaz turut bakal diiringi lebih 40 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Istana Budaya.

Balas budi

Sementara itu, kumpulan Inteam yang juga bertindak selaku penganjur menerusi Inteam Event memberitahu, keputusan mementaskan konsert selama dua hari berturut-turut di Istana Budaya dibuat demi mengangkat martabat serta prestij industri muzik nasyid tempatan ke tahap lebih tinggi.

Menurut salah seorang anggotanya, Hazamin, pemilihan Istana Budaya sebagai lokasi konsert juga dilihat sebagai satu bentuk penghargaan kepada kumpulan yang banyak berjasa dalam perkembangan industri nasyid tempatan.

“Lokasi ini mampu memuatkan kapasiti maksimum 1,400 penonton pada satu-satu masa, sedangkan kita tahu peminat tegar Hijjaz jauh lebih ramai daripada angka itu.

“Cuma kita mahukan prestij. Bila kita letakkan Hijjaz di Istana Budaya, perkara itu satu bentuk penghargaan kerana sangat jarang kumpulan nasyid tampil membuat konsert solo di pentas berprestij ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, keyakinan untuk menganjurkan konsert Hijjaz juga didorong sokongan kuat peminat kumpulan yang popular dengan lagu Sumayyah itu.

“Bila Inteam buat konsert, tiket laris, jadi kami percaya Hijjaz lebih luar biasa impaknya sebab peminat mereka lebih senior dan majoritinya stabil dari segi kewangan.

“Peminat Hijjaz mungkin golongan pencen, umur lingkungan 40-an hingga 50-an atau sudah bergelar datuk nenek.

“Jadi, kebanyakan mereka tidak ada masalah kewangan. Cuma mereka nak pergi atau tidak sahaja ke Istana Budaya. Sebab itu jualan tiket sangat laju, ketika hari pertama jualan tiket dibuka, hampir 70 peratus sudah dibeli,” jelasnya.

Dia juga tidak menafikan penganjuran konsert tersebut sebagai lambang membalas budi dan ilmu kepada Hijjaz yang merupakan pengasas Inteam dua dekad lalu.

“Kami rasa sudah tiba masa untuk balas jasa dan kita nak gunakan kepakaran yang kami miliki dengan buatkan konsert mereka.

“Kami harap Hijjaz terus menjadi pencetus inspirasi kepada industri sebagaimana mereka mencetuskan kelahiran kumpulan Inteam dan UNIC satu ketika dahulu,” ujarnya mengakhiri perbualan.

The post ‘Show pertama Hijjaz nyanyi 32 lagu’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved