Shuib Nikahi Watie Demi Anak-Anak, Mungkin Terus Menduda Kalau Anak-Anak Tak Restu 

Family & Parenting
10 May 2023 • 8:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Shuib bakal bernikah dengan Watie pada bulan depan. - Gambar dari Instagram Shuib

Pelawak dan hos radio Suria FM, Shuib mengakui dia telah mendapatkan persetujuan dan restu daripada anak-anaknya sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dengan usahawan Watie Hanifiah, bulan depan.

Menurut Shuib, persetujuan daripada kesemua anak-anaknya iaitu Uwais Alqrni,12; Dzahira Talita Zahra,10; Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan yang berusia setahun lima bulan adalah sangat penting buat dirinya.

image is not available
Shuib berkata persetujuan dan restu anak-anak adalah penting sebelum dia memutuskan untuk berkahwin dengan Watie.

“Perkahwinan ini berbalik kepada niat. NIat saya berkahwin adalah untuk anak-anak dan keluarga sebab memikul tanggungjawab sebagai bapa bukan mudah.

“Saya tahu tugas bapa ini berat dan anak-anak saya masih kecil. Perkara ini tidak mudah bagi saya dan saya memilih untuk berkahwin disebabkan anak-anak, kalau saya pilih diri sendiri, rasanya saya akan terus membujang.

“Saya ada tanggung jawab besar sebab arwah Siti Sarah Raissuddin mahu saya membesarkan anak-anak dengan cara dan jalan paling baik. Saya perlukan seseorang untuk bersama saya,” katanya kepada Getaran.

Shuib berkata demikian kepada media ketika ditemui semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri FYP Media dan Indigital Music di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, malam tadi.

image is not available
Shuib memberitahu dia mempunyai tanggungjawab yang besar memandangkan arwah Siti Sarah mahu anak-anak mereka dibesarkan dengan cara dan jalan paling baik.

Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhammad, 39, berkata, setiap proses yang dilalui sepanjang perkenalan dengan Watie dilakukan bagi memastikan kesemua empat anak-anaknya itu memahami kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka kelak.

Jelasnya, persetujuan daripada Uwais Alqarni paling diambil kira kerana anak sulungnya itu sudah memahami banyak perkara.

“Walaupun anak-anak masih kecil, mereka cepat menjadi dewasa dengan keadaan yang dilalui sebelum ini.

“Apa yang saya nak buat sekali pun saya akan berbincang dengan anak-anak. Paling penting Uwais sebab dia dah berusia 12 tahun dan makin dewasa. 

“Dia adalah orang terakhir yang saya tunggu untuk kata setuju. Sampailah dia bersetuju barulah saya kata ini adalah masanya,” ujarnya.

Shuib telah melangsungkan pertunangan dengan Watie dalam satu majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam pada 6 Mei lalu.

Untuk rekod, Shuib telah kehilangan isteri, Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Hasil perkahwinan dengan Siti Sarah, mereka dikurniakan empat cahaya mata. - Getaran, 10 Mei 2023