"Shukri Yahaya Pun Masih Dapat Job" – Atiq Azman Yakin Status Kahwin Bukan Penghalang

10 Feb 2025 • 4:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon Atiq Azman mengakui dia telah mempertimbangkan keputusannya dengan teliti sebelum mendirikan rumah tangga, memandangkan dirinya adalah seorang pelakon.

Menurut Atiq, atau nama sebenarnya Raja Mohammad Atiqullah Syah bin Raja Azman Syah, 24, dia sedar ramai artis yang sudah berkahwin mungkin menerima tawaran lakonan yang lebih sedikit kerana peminat cenderung lebih tertarik kepada selebriti yang masih bujang.

Baginya, pelakon yang masih single lebih mudah dibayangkan sebagai watak utama dan dianggap lebih menarik berbanding dirinya.

“Sebelum buat keputusan, saya sudah fikirkan terlebih dahulu kerana kebanyakan pelakon yang sudah berkahwin akan menerima tawaran yang berkurang. 

“Ini kerana peminat sudah tidak begitu tertarik dengan kita, jadi mereka akan mencari pelakon yang masih bujang, yang boleh membawakan watak hero dan nampak lebih sesuai berbanding saya.


“Sebagai persediaan untuk bergelar suami dalam industri ini, saya sebenarnya sudah bersedia,” katanya kepada Gempak.

Atiq berkata demikian ketika menghadiri sidang media Puasa Raya RTM yang berlangsung di Angkasapuri baru-baru ini.

Melihat kepada beberapa selebriti yang sudah mendirikan rumah tangga, aktor itu menganggap status perkahwinan seorang artis tidak semestinya menghalang mereka daripada terus menerima tawaran lakonan.


Dia turut memberi contoh pelakon Shukri Yahaya yang masih menerima tawaran lakonan secara berterusan walaupun sudah berkahwin.

“Kalau kita lihat, ramai sahaja artis yang sudah berkahwin tetapi masih menerima tawaran lakonan, contohnya Shukri Yahaya.

“Walaupun dia sudah berkahwin, dia masih menerima tawaran lakonan secara back to back,” jelasnya.


Bagaimanapun, Atiq berharap jika ada rezeki dan peluang dalam dunia lakonan, dia akan terus berlakon. Namun, jika tiada tawaran, dia tetap akan meneruskan pekerjaannya seperti biasa, iaitu berniaga.

Dia juga menegaskan tidak menjadi masalah sekiranya tidak berlakon kerana masih ada sumber rezeki lain yang boleh dilakukan.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya akan terus berlakon. Tapi kalau tiada tawaran, saya tetap akan bekerja seperti biasa dengan berniaga. Tak salah pun kalau tidak berlakon,” ujarnya.


Terdahulu, Atiq Azman mendedahkan bahawa dia bakal berkahwin dengan pilihan hatinya, seorang pramugari dikenali sebagai Alia Natasha, pada tahun ini.