
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ahli Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok membidas foto tangkap layar tular yang mendakwa dirinya tidak bersetuju Islam diiktiraf sebagai agama rasmi di negara ini.
Teresa menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook mendakwa, imej artikel berunsur fitnah yang bertajuk ‘Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan’ kembali muncul di media sosial dan beliau menegaskan ia adalah satu fitnah semata-mata.
Ahli Parlimen DAP itu dalam masa sama berharap agar individu yang menerbitkan artikel tersebut diberi keinsafan dan bertaubat kerana telah menyebarkan tuduhan palsu terhadapnya sebelum ini.
“Sekali lagi, imej berunsur fitnah ini muncul di media sosial. Semoga penulis blog ini insaf dan bertaubat atas perbuatan menyebar fitnah yang keji ini.
“Siapa fitnah, dia akan masuk neraka,” katanya di ruangan kapsyen hantaran di Facebook.
Difahamkan, imej sama pernah tular pada tahun 2019 yang menyebabkan orang ramai melontarkan kecaman terhadap MP daripada parti DAP itu.
Teresa Menang Saman Fitnah Terhadap Bekas Ketua Pemuda PAS Selangor
Sebelum ini, Teresa telah memenangi kes saman fitnah yang difailkannya terhadap bekas Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim berhubung dua penerbitan artikel di dalam akaun Facebook miliknya pada tahun 2019 iaitu:
- Artikel bertajuk, ‘Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar’ (19 Januari 2019)
- Artikel bertajuk, ‘Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan’ (12 Januari 2019)
Dakwa Teresa, perkataan-perkataan berunsur fitnah di dalam kedua-dua artikel membawa maksud bahawa beliau adalah anti Islam, bersifat perkauman, menyalahguna kuasa sebagai MP serta seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.
Memetik Sinar Harian, artikel tersebut turut diterbitkan dalam media cetak dan sosial di dalam serta luar negara.
Susulan itu, Teresa pada 26 Februari 2020 memperoleh ganti rugi sebanyak RM80,000 selepas memenangi kes saman fitnah terbabit.
Menerusi semakan kami, pautan artikel asal tersebut yang bertarikh 19 Januari masih lagi boleh diakses.
Namun sebuah lagi artikel serupa bertarikh 12 Januari 2019 oleh sebuah lagi portal berita tidak berjaya diakses.
Memetik Bernama pada Julai 2019, Teresa menerusi pernyataan tuntutan mendakwa Syarhan telah menerbitkan semula artikel bertajuk ‘Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan’ yang dakwanya telah diterbitkan oleh sebuah portal berita, Malaysia Today pada 12 Januari 2019.






