ALOR SETAR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok disaran agar bertanding di Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya benar-benar mahu memajukan pulau peranginan itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, tindakan Teresa yang terus-menerus mengkritik Langkawi dan pentadbiran Kedah menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar pemimpin DAP berkenaan terhadap pulau tersebut.
“Saranan saya cuma satu, jika YB Teresa benar-benar berminat untuk memajukan Pulau Langkawi, mintalah Pakatan Harapan meletakkan YB sebagai calon di sana pada PRU akan datang.
“Kita tengok berapa ratus undi yang YB akan dapat,” katanya pada Jumaat.
Mohd Salleh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Teresa yang mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor lebih berminat meluangkan masa dalam bidang seni berbanding mempromosikan destinasi pelancongan utama negara itu.
Teresa mempersoalkan Muhammad Sanusi yang didakwa lebih berminat meluangkan masa berlakon filem ‘The Keris’ daripada memberi fokus untuk memulihkan imej Langkawi yang semakin hambar di bawah pentadbirannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu mendakwa Teresa terus ‘menyerang’ Langkawi walaupun sebelum ini gagal menangkis fakta serta data yang dibentangkan kerajaan negeri berhubung prestasi memberangsangkan sektor pelancongan pulau itu.
Beliau turut mengaitkan perkara tersebut dengan cadangan Teresa di Dewan Rakyat tahun lalu supaya kerajaan Persekutuan mempertimbangkan Langkawi dijadikan wilayah Persekutuan, wilayah khas atau zon antarabangsa.
“Adakah serangan-serangan terbaharunya ini satu cara untuk dia ‘menggilap’ semula cadangan itu?
“Adakah juga ia satu bentuk ‘sabotaj’ terhadap sektor pelancongan Langkawi supaya apabila agenda sabotaj itu berjaya dan Langkawi benar-benar suram, maka kerajaan Persekutuan mempunyai sebab untuk melaksanakan cadangannya? Saya tidak pasti,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Langkawi akan kekal menjadi sebahagian daripada Kedah dan tidak akan diserahkan kepada mana-mana pihak.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan mengorbankan nilai budaya dan agama semata-mata untuk mengejar jumlah pelancong.
“Kita tidak akan melacurkan nilai-nilai setempat termasuk menjadikan Langkawi sebagai hab hedonisme dan budaya tidak sihat lain.
“Majoriti penduduk Langkawi beragama Islam. Sebanyak 78.5 peratus rakyat Kedah juga beragama Islam dan roh Islam berada dalam setiap helaan nafas kami,” katanya.






