
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Nama ahli politik Zohran Mamdani kini menjadi tanda satu era baharu dalam sejarah politik Amerika Syarikat (AS) khusunya di kota metropolitan terbesar dunia iaitu New York City selepas berjaya menjadi Datuk Bandar Muslim pertama.
Tidak hanya itu, lelaki berusia 34 tahun itu juga menjadi pemimpin demokratik sosialis pertama yang menerajui pentadbiran bandar tersebut. Kemenangan yang tidak dijangka ini menandakan perubahan besar dalam landskap politik AS.
Dalam pilihan raya yang diadakan itu, Mamdani berjaya menewaskan dua figura politik terkenal iaitu bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo (yang bertanding sebagai calon bebas) dan calon Republikan, Curtis Sliwa.
Nama Mamdani masih baru dalam dunia politik, jika di AS masih ramai yang tidak mengenalinya, apatah lagi di Malaysia, susulan itu mari kami kongsikan siapa Zohran Mamdani ini.
Zohran Mamdani dari Uganda membesar di New York
Memetik The Guardian, Zohran Mamdani yang dilahirkan dan dibesarkan di Kampala, Uganda berpindah ke New York City bersama keluarganya ketika berusia tujuh tahun.
Anak kepada seorang pembikin filem terkenal dan professor di Universiti Columbia itu mendapat pendidikan di sekolah awam Bronx High School of Science.
Mamdani memperoleh ijazah sarjana muda dalam pengajian Africana dari Bowdoin College pada tahun 2014.
Selepas beberapa tahun menetap di New York, Mamdani akhirnya menjadi warganegara AS yang sah pada tahun 2018.
Dari Uganda ke pentadbiran kota terbesar di AS
Pada November 2020, beliau dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) New York mewakili daerah ke-36 sekali gus menjadi lelaki Asia Selatan pertama dan antara tiga orang Muslim pertama yang pernah berkhidmat dalam bidang perundangan tersebut.
Mamdani mula mendapat sokongan daripada ramai tokoh Demokrat terkenal sejak ‘gempa politik’ hasil kemenangannya yang meyakinkan dalam pemilihan utama Datuk Bandar Parti Demokrat pada 24 Jun lalu.
Dengan menggunakan strategik bijak di media sosial seperti TikTok dan Instagram, Mamdani menyiarkan video-video kempen yang menarik, kelakar tapi sarat dengan mesej yang jelas sekali gus berjaya menarik ribuan pengundi.
Menurut Awani pula, kempen Mamdani menekankan isu kos sara hidup, perumahan mampu milik, penjagaan kanak-kanak universal, dan keadilan sosial.
Trump labelkan Mamdani ‘komunis’, siap ugut potong dana di New York
Walau bagaimanapun, Mamdani dilihat tidak disukai oleh Presiden AS, Donald Trump yang mengecam hebat dan melabelnya sebagai ‘komunis’.
Malah, Trump turut mengancam untuk memotong dana persekutuan kepada bandar itu sekiranya Mamdani tetap berjaya menarik sokongan majoriti pengundi.
Dalam hantaran di platform Truth Social sebelum ini, Trump berkata adalah ‘amat tidak mungkin’ beliau akan menyumbang dana persekutuan kepada New York City, kecuali jumlah minimum yang diwajibkan, sekiranya Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar.
Pelantikan Mamdani dijangka bawa pendekatan baharu dalam pentadbiran bandar
Pelantikan beliau dijangka membawa pendekatan baharu dalam pentadbiran bandar, dengan fokus kepada dasar-dasar yang lebih inklusif dan berorientasikan rakyat.
Mamdani akan memulakan tugasnya sebagai Datuk Bandar pada awal tahun depan, menggantikan Eric Adams yang sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bertanding selepas terpalit dengan skandal rasuah.
Kemenangan ini bukan sahaja bersejarah dari segi identiti dan ideologi, tetapi juga mencerminkan perubahan arus politik di Amerika Syarikat, khususnya di kota metropolitan seperti New York.
