
PETALNG JAYA – Isu berkaitan kehidupan dalam penjara bukan perkara baharu, malah penafian semata-mata tanpa tindakan susulan yang jelas tidak akan menjawab persoalan yang dibangkitkan masyarakat.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan berkata, apabila individu yang pernah berada dalam sistem tampil menerusi podcast dan menceritakan pengalaman secara terbuka, perkara yang selama ini hanya menjadi buah mulut akhirnya mendapat perhatian umum.
Menurutnya, sebagai individu yang pernah lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang guaman jenayah, sivil dan korporat, beliau sendiri pernah mendengar serta menyaksikan pelbagai cerita mengenai kehidupan dalam penjara.
“Bukan sahaja berkaitan kewujudan hierarki atau ‘kasta’ dalam kalangan banduan, malah terdapat banyak lagi cerita dan dakwaan lebih serius yang telah lama diperkatakan,” katanya, hari ini.
MCW berkata, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada cerita Yasin Sulaiman itu benar atau sebaliknya.
“Jika ada dakwaan khusus, siasat. Jika tidak benar, jelaskan dengan fakta. Jika benar, ambil tindakan dan tutup ruang yang memungkinkan perkara itu berlaku,” katanya.
Tambahnya, lebih membimbangkan sekiranya rasuah turut menjadi sebahagian daripada mekanisme untuk seseorang mendapatkan perlindungan, layanan tertentu atau keistimewaan dalam penjara.
“Jika seseorang dihukum kerana rasuah tetapi kemudian terpaksa menggunakan rasuah untuk ‘survive’ dalam sistem, kita sedang berhadapan dengan satu paradoks integriti yang sangat serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Siasat dakwaan penjara, bukan sekadar nafi appeared first on Kosmo Online.





