KOTA KINABALU - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan tular mengenai perbuatan memijak al-Quran serta contengan pada naskhah kitab suci berkenaan.
Menurutnya, perbuatan tersebut disifatkan sebagai tindakan biadab dan melampau yang cuba mencemarkan maruah agama serta boleh menggores perasaan umat Islam.
"Saya minta pihak berkuasa khasnya Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan berkenaan.
Menurutnya lagi, masyarakat tidak boleh berkompromi dengan perbuatan menghina al-Quran, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang berada dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.
"Perbuatan melampau ini boleh meresahkan dan menimbulkan kemarahan umat Islam sekali gus berpotensi menjejaskan perpaduan," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Arifin berharap orang ramai dapat menghadapi perkara berkenaan dengan sabar dan tenang selain menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang sedia ada.
Sebelum itu, tular di media sosial gambar al-Quran dipijak dan diconteng dengan lakaran menghina Nabi Muhammad yang didakwa dilakukan oleh individu berasal dari Sabah.
