SHAH ALAM - Pendedahan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung individu yang disyaki terlibat dalam skandal 'mafia korporat' perlu diambil serius.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh integriti dan tadbir urus kerajaan.
Menurutnya, dakwaan yang mengaitkan individu mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat.
"Namun, sehingga kini, Perdana Menteri masih diam seribu bahasa.
"Dalam isu sebesar ini, kegagalan untuk memberikan penjelasan segera adalah sesuatu yang pelik dan sukar difahami," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah Wan Saiful, semua kontrak kerajaan dengan syarikat yang terlibat dalam skandal itu perlu digantung serta-merta sehingga siasatan penuh dan telus selesai dijalankan.
Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan tiada sebarang konflik kepentingan atau salah laku yang terus berlarutan.
"Dalam masa sama, individu bernama Victor Chin dilihat sebagai watak penting dalam isu ini, yang mana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa pihak berkuasa mengetahui lokasi beliau.
"Jika benar pihak berkuasa tahu di mana beliau berada, mengapa tiada tindakan segera diambil untuk membawa beliau pulang ke tanah air bagi membantu siasatan?
"Kenyataan sekadar mengetahui lokasi tanpa tindakan susulan tidak akan menyelesaikan persoalan yang sedang berlegar," katanya lagi.
Beliau turut menggesa agar individu yang dikenali sebagai ‘Mr R’ yang disebut dalam pendedahan sebelum ini disiasat bagi menentukan kesahihan dakwaan penglibatannya.
"Jika siasatan menjumpai bukti yang sahih, kita juga mahu tahu sudah berapa banyak syarikat atau individu menjadi mangsa sebelum ini?
"Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas dan tindakan yang tegas," ujarnya.
Wan Saiful berkata, kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu yang melibatkan kepentingan awam dan kepercayaan terhadap institusi negara.
