SHAH ALAM – Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan kajian semula Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) susulan pendedahan isu 'mafia korporat'.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan ahli perniagaan Victor Chin pada 24 Mac lalu menunjukkan jenayah berkenaan wujud dan mengetahui individu terlibat, meskipun menafikan penglibatan sendiri.
"Maka tidak ada sebab SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) lambat bertindak untuk panggil Victor. Siasat segera dengan terperinci. Kalau dia dakwa ada bukti, maka tunggu apa lagi, jangan tangguh siasatan.
"Nampaknya 'mafia korporat' macam jenayah baru kerana rakyat tidak pernah terdedah dengannya. Amat malang jika ia sudah berlaku banyak kali.
"Saya mendesak tubuh segera RCI supaya siasatan lebih telus dan terjamin bebas, selain sudah sampai masanya Akta AMLA dikaji semula," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Victor atau nama sebenarnya Chin Boon Loong dalam dokumen setebal 40 muka surat memperincikan kronologi seorang Ahli Parlimen PKR yang meminta RM10 juta untuk menyelesaikan isu mafia korporat, namun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.
Menurutnya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan seperti dijanjikan.
Dakwaan mafia korporat berkisar mengenai bahawa pegawai kanan SPRM mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam yang tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun yang tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.
Dalam pada itu Puad menjelaskan, AMLA kini boleh menzalimi kerana akaun dan aset boleh dibekukan semasa siasatan dan memerlukan masa lama untuk dinyahhapuskan.
Menurutnya, akta itu juga mudah dimanipulasi sehingga seseorang boleh didakwa dan digambarkan bersalah.
"Kini AMLA digunakan pula untuk melakukan jenayah 'mafia korporat'," ujarnya.
Sementara itu bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil secara sinis mempersoalkan individu yang terlibat seperti didakwa Victor susulan kes itu didakwa melibatkan agensi penguatkuasaann, pencegahan rasuah dan pemberian kontrak kerajaan berbillion ringgit.
"Ke sinilah perginya duit minyak rakyat. Bila duit tidak cukup untuk beri projek, minyak naik lagi.
"PKR dan UMDAP sama-sama nyanyi Hoi Ya Hoi sekarang," katanya.
