Polis mengesahkan permainan mercun tidak menjadi punca kepada letupan besar yang menyebabkan kebakaran saluran gas di Putra Heights pada 31 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, walaupun pihaknya menerima laporan tentang individu bermain mercun berhampiran lokasi kejadian pada malam berkenaan, hasil siasatan awal mendapati bahan tersebut tidak cukup kuat untuk mencetuskan letupan sebesar itu.
“Kita terima laporan ada orang main mercun, tapi setakat ini tiada bukti kukuh yang menunjukkan ia boleh sebabkan letupan besar seperti yang berlaku,” katanya memetik laporan Harian Metro, Ahad.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar dan pihak polis terbuka menerima sebarang maklumat daripada orang awam yang boleh membantu.
Setakat ini, sebanyak 642 laporan polis diterima berhubung insiden itu dan 118 individu sudah dipanggil memberi keterangan, termasuk 15 orang dari kalangan kontraktor, subkontraktor dan pekerja.
The post Siasatan awal dapati mercun tidak cukup kuat sebabkan letupan di Putra Heights – Polis appeared first on The Reporter.


