Siasatan berkaitan Tabung Haji boleh melangkaui skop laporan RCI – PM Anwar

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 4:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Siasatan berkaitan Tabung Haji boleh melangkaui skop laporan RCI – PM Anwar

Anwar berkata siasatan Tabung Haji boleh melangkaui skop RCI, sambil menggesa tindakan tegas terhadap isu tadbir urus dan ketirisan

PUTRAJAYA: Siasatan dan tindakan pihak berkuasa berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) boleh melangkaui skop serta tempoh yang diteliti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RCI menjadi asas utama kepada siasatan dan penelitian berhubung isu berkenaan, namun tiada halangan kepada pihak berkuasa untuk meneliti perkara yang berlaku sebelum atau selepas tempoh tersebut.

“Memang sekarang ini, semua tindakan dan kajian melangkaui RCI…RCI itu sebagai induk. Tak ada halangan kaji sebelum dan selepas, dan ini yang dilakukan oleh badan penguatkuasaan dan penyiasatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan sesi libat urus Belanjawan 2027, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan penutupnya, Anwar mengarahkan supaya tindakan susulan berhubung isu TH dilaksanakan secara tegas dan segera.

Beliau menegaskan tidak akan mencampuri proses siasatan atau pendakwaan, sambil meminta pihak berkaitan memberikan maklumat dan taklimat mengenai isu TH kepada Raja-Raja Melayu, manakala beliau sendiri memberikan penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Kebetulan dalam kes ini, Yang di-Pertuan Agong berikan panduan mudah…tegas. Jadi memudahkan tindakan kita…dan arahan saya, nak campur penyiasatan tidak boleh, pendakwaan tidak boleh. Tapi saya boleh beri pengarahan umum. Tegas, cepat. Jangan bagi dalih, jangan takut siapa. Mesti bertindak,” katanya.

Anwar berkata tindakan tegas tanpa tolak ansur itu perlu diambil dalam usaha menyelamatkan negara, meskipun langkah sedemikian membawa risiko politik.

Beliau berkata selepas TH, kerajaan juga akan memberikan perhatian kepada isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) meskipun mengakui tindakan itu bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan realiti politik, namun beliau bersedia mengambil risiko dan meneruskannya.

“Saya bukan hendak memberi alasan. Saya cuma mengatakan bahawa inilah realiti politik sebenar yang perlu kita hadapi.

“Jika ditanya kepada saya…saya sudah nyatakan bahawa saya bersedia mengambil risiko. Saya mengambil risiko itu dan akan terus bergerak ke hadapan. Ia menyebabkan saya terpaksa membayar harga politik yang tinggi. Pada usia sekarang, saya fikir saya tidak seharusnya terlalu bimbang mengenainya,” kata beliau.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam soal tatakelola dan penyelewengan terutama apabila melibatkan dana dalam jumlah besar.

Mengaitkan soal tatakelola dengan kepentingan Belanjawan 2027, Perdana Menteri berkata ketirisan dan kelemahan tadbir urus boleh menyebabkan kerajaan kehilangan dana yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kelima negara di bawah Kerajaan MADANI.

Hampir 400 peserta daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa memberikan pandangan dan mengemukakan cadangan untuk memantapkan penyediaan Belanjawan 2027.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved