PRN Melaka: Jangan Bangkit Isu 3R Ketika Kempen - Polis 

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 1:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: Jangan Bangkit Isu 3R Ketika Kempen - Polis 

MELAKA - Semua calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan supaya tidak memainkan isu sensitif membabitkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang tempoh berkempen.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua calon, parti politik serta penyokong masing-masing perlu mematuhi undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Menurut beliau, 29 permit bagi mengadakan ceramah politik telah dikeluarkan sejak tempoh berkempen bermula pada Sabtu lalu.

“Daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan permohonan tertinggi dengan 11 permit, diikuti Alor Gajah sebanyak 10 permit dan Jasin dengan lapan permit,” katanya. 

Dzulkhairi berkata, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan berkaitan gangguan ketenteraman sepanjang kempen berlangsung. 

“Bagaimanapun, satu laporan berhubung kejadian vandalisme terhadap bahan kempen telah diterima,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua parti politik supaya memastikan bahan kempen seperti bendera, poster dan sepanduk dipasang mengikut peraturan yang ditetapkan.

Katanya, pemasangan bahan kempen perlu diberi perhatian khususnya di kawasan persimpangan lampu isyarat dan sepanjang jalan utama bagi mengelakkan pandangan pengguna jalan raya terhalang.

"Selain itu, kawasan rumah ibadat termasuk masjid, gereja dan kuil tidak boleh digunakan sebagai lokasi untuk menjalankan aktiviti kempen pilihan raya,” katanya.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, penggunaan premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kenderaan serta peralatan komunikasi milik agensi berkenaan bagi tujuan berkempen turut dilarang.

“Bangunan awam juga tidak boleh digunakan untuk mengadakan perhimpunan atau aktiviti kempen politik tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap bangunan atau premis berkenaan,” katanya. - Getaran, 2 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved