SPRM cadang tuduh tiga individu termasuk Ketua Pengarah JAS

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 2:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian dan Azam Baki.

PUTRAJAYA – Kertas siasatan berkaitan kes pengurusan sisa elektronik (e-waste) membabitkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengemukakan cadangan pertuduhan terhadap Ketua Pengarah JAS dan timbalannya serta seorang bekas pegawai kanan.

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan kini dalam peringkat kajian.

“Keputusan berhubung cadangan pertuduhan berkaitan kes itu dijangka diketahui dalam tempoh seminggu, sama ada mereka akan dituduh atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Pada 6 Februari, media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya yang direman tujuh hari untuk membantu siasatan berkaitan kes berkenaan dibebaskan dengan jaminan.

Azam dilaporkan berkata, kedua-duanya sudah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka dirakam dalam tempoh reman.

Media sebelum ini melaporkan ketua pengarah terbabit bersama timbalannya ditahan SPRM selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 29 Januari lalu.

Kedua-dua individu itu kemudian direman bermula 30 Januari untuk siasatan di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.

Siasatan dijalankan bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Siasatan SPRM yang bermula sejak 19 Januari lalu turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170,000 selain tindakan pembekuan satu akaun syarikat bernilai kira-kira RM700,000 dan satu lagi akaun milik individu bernilai kira-kira RM300,000.