
KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan firma semikonduktor British Arm Holdings telah diperhebat, apabila Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli turut dipanggil untuk memberikan kenyataan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan, mantan Menteri Ekonomi itu telah dipanggil untuk hadir ke pejabat suruhanjaya tersebut jam 10 pagi hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berkaitan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Rafizi dipanggil susulan keterangan dan soal siasat yang dibuat ke atas pembantunya, James Chai, selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.
“Sebanyak 22 kenyataan telah direkodkan, termasuk daripada menteri dan pegawai kanan dari beberapa agensi kerajaan sejak siasatan bermula pada 13 Februari 2025.
“Minggu lalu, kami telah merekodkan kenyataan daripada James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa,” katanya.
Difahamkan, SPRM memulakan siasatan pada 16 Februari susulan aduan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan, mendakwa perjanjian berkenaan telah dilaksanakan secara tergesa-gesa dan distrukturkan dengan cara yang berpotensi tidak memihak kepada kerajaan, dengan kemungkinan implikasi kewangan.
Pihak berkuasa juga sedang meneliti kemungkinan timbulnya konflik kepentingan, termasuk dakwaan individu tertentu yang dilantik ke jawatan kanan dalam syarikat asing terlibat, selepas meninggalkan peranan dalam kementerian kerajaan.
Terdahulu, SPRM mengeluarkan notis dua minggu pada 1 April untuk James Chai, yang ketika itu berada di London, untuk kembali dan membantu siasatan, dengan tawaran akan menampung semua perbelanjaan perjalanan miliknya.
Rafizi pada Jumaat lalu mengesahkan telah menerima notis rasmi untuk menghadiri ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh dengan diiringi peguamnya.
Tegasnya, kes terbabit berpotensi berkembang menjadi proses perundangan yang penting dan berlarutan, melibatkan kepimpinan kanan negara.
Dakwanya, perkara itu ‘akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pemimpin tertinggi negara akan dipanggil sebagai saksi, termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri.’ - Getaran, 4 Mei 2026





