'Selepas James Chai, tinggal saya' - Rafizi

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Selepas James Chai, tinggal saya' - Rafizi
Rafizi Ramli menjangkakan beliau mungkin menjadi individu seterusnya dipanggil oleh SPRM.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menjangkakan beliau mungkin menjadi individu seterusnya dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan melibatkan usaha sama kerajaan dengan syarikat semikonduktor dunia.

Menurutnya, perkembangan itu susulan bekas pegawainya, James Chai telah pulang dari Cambridge pada Selasa bagi memberi keterangan kepada SPRM.

Beliau berkata, siasatan tersebut berkaitan dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dalam usaha sama kerajaan dengan ARM, syarikat perisian semikonduktor antarabangsa.

"Saya berbesar hati untuk membantu siasatan SPRM. Kemungkinannya begini, James adalah saksi terakhir yang SPRM ingin ambil keterangan. Selepas James, tinggal saya.

"Maka saya mungkin dipanggil, seterusnya ditahan dan didakwa dalam tempoh seminggu, dua minggu atau tiga minggu dari sekarang," katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan James Chai hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK).

Justeru, Rafizi memohon agar SPRM menghantar notis rasmi sekiranya ingin memanggilnya memberi keterangan.

"Masalahnya saya tidak ada WhatsApp dan saya tidak angkat telefon yang saya tidak kenali. Banyak scammer sekarang ini.

"Jadi saya mohon kepada SPRM untuk menghantar notis memanggil saya memberi keterangan, atau kalau nak tangkap hantar notis siap-siap, ke email saya rafizi.ramli@gmail.com," ujarnya lagi.

Bekas Menteri Ekonomi tersebut turut menegaskan beliau tidak pernah melarikan diri daripada pihak berkuasa walaupun pernah beberapa kali ditahan sebelum ini.

"Jangan bimbang, saya tidak pernah lari ke mana. Dah berpuluh kali saya kena tahan pihak berkuasa dari 2010 lagi, tidak pernah sekali pun saya lari.

"Insya-ALLAH, kita jumpa di ibu pejabat SPRM Putrajaya dalam masa yang terdekat ini," menurutnya lagi.

Dalam hantaran sama, Rafizi berkongsi bahawa usaha sama terbabit pernah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac 2025.

"Kalau ingat, Mac 2025, Perdana Menteri melancarkan usaha sama ini untuk membolehkan Malaysia berubah dari menjadi pengilang yang memasang cip semikonduktor kepada pencipta yang mereka bentuk cip semikonduktor," tambahnya.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan beliau percaya siasatan itu tidak melibatkan kehilangan wang.

“Saya tahu siasatan itu tidak ada kena mengena dengan wang yang hilang. Kalau tidak, sudah lama saya ditahan dan berpuluh juta wang dipamerkan kepada orang ramai, seperti yang pernah berlaku dalam kes ahli politik lain,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan tersebut lebih menjurus kepada dakwaan kononnya beliau mendesak kerajaan menandatangani perjanjian usaha sama itu secara tergesa-gesa.

“Macam perjanjian ART yang sesetengah pihak kata tergesa-gesa. Cuma yang saya disiasat besar-besaran, yang ART itu langsung tidak disentuh,” katanya.