KUALA PILAH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, siasatan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Beliau berkata, laporan itu adalah hasil siasatan RCI yang perlu dijadikan asas bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
"Dalam Laporan RCI itu, siapa (yang didapati) salah itu, lembaga (RCI) yang siasat. Saya sebagai Perdana Menteri amanahkan, siasat dengan telus, jangan ‘cover’ (lindungi) lagi dah. Letih dah kita tunggu,” kata beliau.
Anwar berkata, demikian ketika berucap pada program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan dan timbalannya Marhamah Rosli, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sentiasa terbuka menerima teguran dan nasihat selain menegaskan kerajaan sedang berusaha keras untuk memperbaiki segala kelemahan pentadbiran terdahulu.
"Tegurlah saya. Nasihatlah saya tetapi jangan hina. Kalau ada kelemahan, ya... semestinya ada, berilah teguran.
"… tetapi berilah kesempatan dan ruang kepada kita untuk membetulkan kecuaian dan kelemahan yang lalu serta memperbaiki keadaan, terutama mengangkat martabat umat Islam dan orang Melayu yang memerlukan pembelaan. Islam mesti dimartabatkan melalui amal dan tindakan," kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta rakyat di negeri ini memilih pemimpin berdasarkan rekod integriti, amanah serta kesungguhan berkhidmat dan bukannya dipengaruhi sentimen atau kebencian.
"Pilih bukan sentimen, bukan kebencian. Kalau ada pemimpin yang akhlaknya baik, kerjanya rajin, tidak curi, tidak 'sakau', jagalah mereka.
"Sebab itu saya datang untuk bantu saudara (Datuk Seri) Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar. Kerana saya tahu rekod dia. Tak ada rekod balak hilang, kontrak hilang, ambil duit hantar ke luar negara, tidak ada," kata beliau.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Terdahulu, program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan turut menghimpunkan beberapa tokoh agama dan pendakwah antaranya Sheikh Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wosabi dan Habib Nael Ben Taher selain diperdengarkan dengan alunan selawat, sesi tausiyah serta persembahan nasyid oleh Kumpulan UNIC. - Bernama






