#SiBibirMerah: Jangan ‘suka-suka’ muat naik gambar, video di media sosial, hormat privasi sensitiviti orang lain

16 Oct 2022 • 1:57 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

JANGAN sembarangan memuat naik gambar atau video orang lain tanpa kebenaran. Apatah lagi jika ia melibatkan mangsa kemalangan, kebakaran, lemas dan sebagainya demi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Sudah menjadi trend hari ini, medial sosial menjadi ruang untuk berkongsi segala jenis info. Kalau boleh masing-masing ingin menjadi orang pertama ketika menyebarkan sesuatu perkara.

Pendek kata tanpa memikirkan perasaan orang lain dan rasa bersalah, apa sahaja perkara atau kejadian dikongsi di media sosial.

Jika kita keluar bersiar-siar dan kebetulan terserempak dengan selebriti atau individu yang berpengaruh, jangan sesuka hati memuat naik gambar-gambar mereka mahupun ahli keluarga mereka.

Masing-masing punya privasi. Maka, tidak wajarlah untuk kita menyebarkan hal kehidupan individu lain secara terbuka.

image is not available
Kredit foto: Pexels

Seperti video kemalangan ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berdurasi satu minit 37 saat yang tular di Facebook sejak semalam. Ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan si perakam memuat naik video tersebut di media sosial. Ia seolah-olah tidak menghormati perasaan ahli keluarga mangsa terlibat.

Seeloknya, sebelum memuat naik apa juga gambar mahupun video, pastikan kita mengambil kira kesan kepada tindakan yang dilakukan.

Jangan hanya kerana ingin menjadi orang pertama menyebarkan sesuatu berita, kita langsung tidak mempedulikan perasaan dan sensitiviti orang lain.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang merupakan , terdapat empat adab perlu diamalkan sebagai pengguna media sosial.

image is not available
Kredit foto: Pexels

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita beberapa asas penting dalam berinteraksi dengan manusia. Berdasarkan al-Quran dan hadis, ini adalah di antara empat adab yang perlu kita jaga sepanjang berinteraksi di dalam media sosial iaitu:

1. Bercakap atau menulis perkara yang baik dan memberikan manfaat sahaja.

2. Meninggalkan perdebatan atau segala perkara yang tidak bermanfaat.

3. Bercakap perkara yang kita tahu sahaja. Kita bukan pakar semua perkara.

4. Menyemak maklumat terlebih dahulu sebelum kita menyebarkannya.

Nasihat Bibir Merah, gunakanlah media sosial secara positif dan beretika. Penerapan nilai-nilai murni, sikap bertoleransi dan bertanggungjawab perlu sentiasa ada dalam diri masing-masing.

Jangan hanya kerana ingin mendapat jumlah ‘like’ dan tontonan yang tinggi, nilai kemanusiaan diketepikan.

Kredit foto utama: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi