SHAH ALAM, 11 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) tahun ini yang julung kali berlangsung dua siri merekodkan nilai transaksi berjumlah RM13.86 bilion.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pencapaian membanggakan itu melebihi sekali ganda dari tahun lalu yang memperoleh hanya RM6.12 bilion.
“Ini satu pencapaian sangat baik. Penganjuran pertama pada Julai, sidang ini mencatatkan nilai RM12.2 bilion sekali gus mengatasi sasaran keseluruhan RM7 bilion.
“Siri kedua berlangsung bulan lalu merekodkan nilai transaksi RM1.66 bilion. Keseluruhan RM13.86 bilion direkodkan dengan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) catatkan RM12.2 bilion,” katanya ketika dihubungi.

Sze Han berkata dua siri berkenaan mencatatkan kehadiran hampir 53,000 pengunjung termasuk pelawat, delegasi, pelajar dan orang awam selain menyaksikan 84 pertukaran dokumen.
“Berdasarkan pengalaman kali ini, sidang tahun depan mungkin akan diadakan serentak untuk memudahkan urusan penganjuran selain memastikan ekspo berjalan lancar,” katanya.
Sesi pertama sidang bertaraf antarabangsa itu melibatkan 285 reruai termasuk pempamer antarabangsa dengan tumpuan kepada SPARK sertaPersidangan Perniagaan Asean Selangor sahaja.

Manakala siri kedua berlangsung pada 16 hingga 19 Oktober membabitkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.
Sidang berprestij ini turut melibatkan penyertaan beberapa negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, dan United Kingdom.
The post SIBS 2024 catat nilai transaksi RM13.86 bilion, lebih sekali ganda dari tahun lalu appeared first on Selangorkini.




