Sibuk cari rezeki jangan sampai emosi anak terabai

LocalFamily & Parenting
15 Aug 2026 • 3:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sibuk cari rezeki jangan sampai emosi anak terabai

GEORGE TOWN – Kesibukan ibu bapa mencari rezeki tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan masa berkualiti bersama anak-anak.

Atas kesedaran itu, pertubuhan bukan kerajaan, Surplus bersama Sparkle Through Speech menganjurkan Karnival Komuniti Madani ‘Family Pool’ sebagai platform mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi aktiviti santai dan mesra keluarga.

Pengerusinya, Sophian Mohd. Zain berkata, pembangunan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi dan kemajuan fizikal, sebaliknya bermula daripada institusi keluarga yang kukuh.

“Kesibukan mencari rezeki adalah satu tanggungjawab, tetapi dalam masa sama kita tidak boleh mengabaikan keperluan emosi dan kasih sayang anak-anak.

“Mereka bukan sekadar memerlukan kemudahan dan keperluan material, tetapi memerlukan masa, perhatian, komunikasi dan kehadiran ibu bapa dalam kehidupan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, semangat Malaysia Madani perlu diterjemahkan melalui tindakan di peringkat masyarakat termasuk membentuk keluarga yang mengamalkan nilai kasih sayang, hormat-menghormati, ihsan, tanggungjawab dan kebersamaan.

Beliau berkata, konsep ‘Family Pool’ bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk berinteraksi, berkomunikasi serta mencipta kenangan bersama.

Sementara itu, Pengasas Sparkle Through Speech, Marni Jamil pula berkata, komunikasi antara ibu bapa dan anak memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan kekeluargaan yang sihat.

“Anak-anak perlu diberi ruang untuk bercakap, berkongsi pengalaman dan meluahkan perasaan supaya mereka merasakan suara mereka didengari serta dihargai,” katanya.

Jelasnya, masa yang diluangkan bersama keluarga merupakan satu pelaburan penting dalam membentuk emosi, keyakinan diri dan sahsiah anak-anak.

“Kita mungkin mempunyai pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan, namun masa tetap perlu diperuntukkan untuk mendengar, berbual, bermain dan mencipta kenangan bersama anak-anak.

“Kerana akhirnya, anak-anak mungkin tidak mengingati berapa banyak yang kita belanjakan untuk mereka, tetapi mereka akan mengingati masa, kasih sayang dan kenangan yang pernah kita cipta bersama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Sibuk cari rezeki jangan sampai emosi anak terabai appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved