
Kota Kinabalu: Perjuangan Sabah bagi mendapatkan hak dan kepentingannya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada akhirnya perlu memperkukuh pembangunan negeri serta meningkatkan kehidupan seharian rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
“Memperjuangkan hak Sabah tidak bermakna menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia sebahagian daripada usaha memperkukuh asas Persekutuan supaya setiap rakan dalam Persekutuan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat mendapat manfaat daripada Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.
Hajiji berkata, kedudukan Sabah dalam Persekutuan, khususnya berkaitan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan, kekal menjadi asas penting dalam hubungan negeri itu dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa hubungan kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu berasaskan sikap saling menghormati, keadilan serta kesediaan memenuhi tanggungjawab yang dipersetujui.
Bagi Sabah, katanya, erti kemajuan perlu melangkaui angka pembangunan dan projek berskala besar, dengan manfaatnya sampai kepada masyarakat di seluruh negeri.
“Kemajuan tidak mencukupi jika hanya tercermin melalui angka dan bangunan, sebaliknya kemajuan perlu dirasai dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Beliau mengenal pasti usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, meningkatkan kesalinghubungan serta memperluas peluang ekonomi di peringkat akar umbi sebagai aspek penting kesejahteraan Sabah.
Hajiji berkata perpaduan juga penting bagi memastikan Sabah dapat terus maju dalam sebuah Malaysia yang stabil dan makmur.
“Dalam hal ini, jelas bahawa kemajuan tidak mencukupi jika hanya tercermin melalui angka dan bangunan, sebaliknya kemajuan perlu dirasai dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Beliau berkata perpaduan tidak seharusnya sekadar menjadi slogan ketika sambutan Hari Malaysia, sebaliknya merupakan prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak Sabah.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah supaya mengekalkan budaya muafakat negeri itu dan menolak sentimen yang memecah-belahkan, khususnya di media sosial.
Katanya, generasi muda perlu dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, keyakinan dan peluang, di samping memahami sejarah serta menghargai warisan Sabah.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembangunan dengan memperkukuh infrastruktur, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan mempertingkat kesejahteraan rakyat.
“Kami mahu Sabah terus maju dalam Malaysia yang makmur dan berkembang maju,” katanya.






