IPOH - Perak merekodkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.49 berbanding 4.63 pada tahun 2024.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 mata sekali gus meneruskan trend peningkatan prestasi negeri bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2023.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, seramai 982 calon memperoleh keputusan cemerlang sekurang-kurangnya gred A-, A dan A+ dalam semua mata pelajaran.
Menurutnya, seramai 26 calon pula berjaya memperoleh semua A+, peningkatan 17 calon berbanding hanya sembilan calon pada tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan ketara dari segi kualiti pencapaian.
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran turut meningkat kepada 6,348 orang (22.89 peratus) berbanding 5,804 orang (21.14 peratus) tahun sebelumnya.
"Selain itu, calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus gred D dan E dalam semua mata pelajaran seramai 9,964 orang berbanding 9,742 orang pada tahun 2024," katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2025 di Jabatan Pendidikan Perak, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 31,702 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2025 di Perak dengan 80 mata pelajaran ditawarkan di 296 pusat peperiksaan yang dikendalikan oleh 10,763 petugas serta 575 sukarelawan.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 28,058 calon merupakan pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kehadiran mencecah 98.8 peratus iaitu 27,722 calon.
“Jumlah calon tidak hadir bagi semua mata pelajaran menurun kepada 336 orang atau 1.20 peratus berbanding 479 orang (1.74 peratus) pada tahun 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kehadiran calon,” katanya
Zulkafli berkata, daripada jumlah calon sekolah KPM, seramai 26,182 calon atau 94.44 peratus layak dianugerahkan sijil SPM berbanding 25,774 calon (93.86 peratus) pada tahun sebelumnya.
"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 408 calon yang layak menerima sijil SPM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, prestasi mata pelajaran SPM 2025 menunjukkan peningkatan bagi 46 daripada 80 mata pelajaran, manakala 30 mata pelajaran mencatatkan penurunan dan empat lagi kekal.
Katanya, mata pelajaran Pendidikan Islam mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.87 mata, manakala Bahasa Inggeris turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.15 mata.
“Bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan bagi Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral, namun ia masih dalam kawalan dan akan diberi perhatian untuk penambahbaikan,” katanya.
Mengulas pencapaian murid Orang Asli, beliau berkata, seramai 650 calon menduduki SPM 2025 dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong mencatatkan kelulusan 100 peratus selama tiga tahun berturut-turut.
Selain itu, katanya, seramai 107 calon berkeperluan pendidikan khas turut menduduki peperiksaan dengan beberapa calon berjaya mencatatkan keputusan cemerlang termasuk memperoleh sehingga 10A.
"Secara keseluruhan, pencapaian SPM 2025 di Perak amat membanggakan dan mencerminkan keberkesanan usaha berterusan semua pihak dalam memastikan sistem pendidikan yang inklusif dan berkualiti,” katanya.


