Sijil lahir format lama masih sah, tidak perlu ditukar

12 Oct 2026 • 4:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sijil lahir format lama masih sah, tidak perlu ditukar

GUA MUSANG – Orang ramai tidak perlu bimbang atau tergesa-gesa menukar sijil kelahiran lama termasuk dokumen bertulisan tangan kerana ia masih sah digunakan sehingga kini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, sijil kelahiran yang dikeluarkan sejak dahulu tidak pernah terbatal kesahihannya walaupun menggunakan format lama.

Katanya, orang ramai masih boleh menggunakan sijil kelahiran asal masing-masing tanpa perlu mendapatkan dokumen baharu semata-mata kerana perbezaan format.

“Sijil lahir tidak pernah tak sah, sama ada generasi lama ataupun generasi baharu,” katanya selepas Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar, di sini hari ini.

Badrul Hisham berkata, sijil kelahiran lama termasuk dokumen berbentuk kad kertas yang mempunyai tulisan tangan masih boleh digunakan seperti biasa.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penyedia perkhidmatan untuk menaik taraf sistem pembaca kad masing-masing bagi memastikan MyKad generasi baharu dapat dibaca dengan lancar untuk urusan pengesahan identiti elektronik (eKYC).

Jelasnya, sistem JPN telah disesuaikan untuk membaca semua dokumen pengenalan diri, namun penyedia perkhidmatan perlu meningkatkan tahap kesediaan sistem mereka.

“Sebanyak 202,829 MyKad generasi baharu dikeluarkan di seluruh negara bagi tempoh 17 September hingga 11 Oktober lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sijil lahir format lama masih sah, tidak perlu ditukar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved