
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian ekonomi yang dipaparkan melalui angka dan statistik, sebaliknya perlu memastikan pertumbuhan negara benar-benar mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tekanan perbelanjaan harian masih dirasai rakyat meskipun kerajaan memaparkan penurunan kadar inflasi dan pengangguran.
Beliau berkata, penurunan kadar inflasi kepada 1.9 peratus pada Ogos tidak bermakna harga barangan kembali turun, sebaliknya kenaikannya hanya berlaku pada kadar lebih perlahan.
“Kerajaan juga gemar memperagakan kadar inflasi yang menurun, tetapi inflasi 1.9 peratus pada Ogos tidak bermakna harga turun.
“Realitinya harga barang tidak turun selepas naik, yang berlaku cuma harga itu meningkat dengan kadar lebih perlahan. Bahkan dalam kebanyakan barangan harian, harganya melambung.
“Sebab itu, kita mahu pertumbuhan ekonomi benar-benar bermakna dan kesannya dirasai di dapur rakyat. Sebagai kerajaan, inilah tanggungjawab yang perlu dilunaskan.
“Realitinya, kos sara hidup kekal tinggi. Angka cantik atas kertas tidak mencerminkan perit jerit dan kepayahan rakyat di bawah sana,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata, kerajaan wajar diberi pengiktirafan atas usaha meneruskan dan memperluas beberapa inisiatif bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Jualan Rahmah.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada bantuan berkenaan mencukupi untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat.
“Tapi kita juga mesti tanya, adakah dengan bantuan ini sudah mencukupi untuk kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup yang membelenggu rakyat? Sudah tentu tidak,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu pekerjaan berkemahiran rendah dan ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pendidikan, meskipun kadar pengangguran menunjukkan penurunan.
Menurutnya, penurunan kadar pengangguran tidak semestinya menggambarkan pekerja memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
Dalam pada itu, Hamzah memberi contoh kenaikan harga sayur-sayuran di Pasar Chow Kit, termasuk pucuk paku yang meningkat kepada RM9 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.
Katanya, harga tomato dan timun Jepun juga meningkat antara RM3 hingga RM4 sekilogram, sekali gus menggambarkan tekanan harga yang dihadapi pengguna.
“Ini yang saya cakap berulang kali di Dewan ini, mahu pun di luar sana, tengok kepada realiti sebenarnya di bawah sana. Jangan hanya syok dengan angka yang muluk-muluk di atas kertas saja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, prestasi ekonomi negara perlu dinilai berdasarkan kemampuan rakyat mendapatkan makanan, mempunyai wang untuk berbelanja dan memiliki tempat tinggal yang selamat.
Hamzah berkata, ukuran berkenaan lebih mencerminkan kesejahteraan rakyat berbanding angka pertumbuhan ekonomi semata-mata.
“Rakyat hidup berdasarkan harga barang yang mereka bayar setiap hari. Mereka lihat harga beras, ayam, ikan, minyak, kos sewa rumah, kos pendidikan, kos pengangkutan dan bil utiliti.
“Tanyalah kepada rakyat, lepas bayar semua itu, berapa duit poket yang tinggal. Insya-Allah saya yakin kita akan dapat jawapan yang jujur,” katanya. – UTUSAN
The post Angka ekonomi cantik tapi rakyat masih terhimpit – Hamzah appeared first on Utusan Malaysia.






