
KUALA LUMPUR 10 Dis – Sika Malaysia buat julung kali menganjurkan Pertandingan Pekerja Jubin Kebangsaan dengan menghimpunkan ramai tukang mahir industri itu dari seluruh negara.
Acara kali pertama itu menawarkan hadiah keseluruhan RM6,000 dan peluang beraksi di peringkat antarabangsa, sebagai usaha memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan dalam sektor pembinaan.
Menurut Pengurus Produk Sika Kimia Sdn Bhd, Tin Yen Hau, pertandingan diadakan di pusat teknikal Sika di Nilai, Negeri Sembilan itu direka bagi meniru keadaan sebenar tapak pemasangan jubin.
Peserta jelas beliau, turut akan diuji dari aspek ketepatan teknikal, kelajuan, keselamatan dan tahap kemasan yang perlu selaras dengan standard industri semasa.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkasakan kemahiran tenaga kerja pembinaan di Malaysia.
“Di Sika, inovasi bukan hanya tertumpu kepada produk, tetapi juga kepada individu yang menggunakannya. Pertandingan ini diwujudkan untuk mengiktiraf dan meningkatkan martabat tukang jubin yang menjadi tulang belakang industri pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan baru baru ini.
Beliau berkata, perubahan landskap pembinaan yang kini menuntut pemasangan lebih pantas, penggunaan jubin bersaiz besar serta ketepatan teknikal yang tinggi, memerlukan pekerja jubin menguasai pelekat, grout dan teknik kemasan yang lebih canggih.

Pasukan daripada Beribu Inspirasi Sdn Bhd, diwakili oleh Lim Chee Boon dan Islam Md Tariquk, dinobatkan sebagai juara kebangsaan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sekali gus layak mewakili Malaysia ke peringkat akhir antarabangsa di Hong Kong pada 2026, dengan ganjaran sehingga USD3,000 ( RM12357) menanti pemenang.
Menurut Lim, penyertaan itu memberi pengalaman berharga kepada mereka sebagai tenaga kerja teknikal.
“Saya berasa bangga dan pada masa yang sama gementar apabila terpilih. Kemenangan ini mengajar kami tentang pentingnya disiplin dan kerja berpasukan,” katanya.
Islam pula berkata ketelitian dan kesabaran adalah kunci utama dalam pemasangan jubin berkualiti tinggi.
“Setiap garis grout, potongan dan kemasan memberi kesan kepada ketahanan jangka panjang,” katanya.
Naib juara yang membawa pulang RM2,000 turut dimenangi pasukan kedua Beribu Inspirasi Sdn Bhd, manakala tempat ketiga dengan hadiah RM1,000 dimenangi KTJ (M) Sdn Bhd.
Menurut penganjur, peserta dinilai berdasarkan ketepatan teknikal, tahap keperataan, aplikasi pelekat, kelajuan kerja, kekemasan serta tahap keselamatan, sejajar dengan keperluan sebenar projek pembinaan.
“Pertandingan ini membuka ruang kepada pekerja jubin untuk mempamerkan kemahiran pada peringkat nasional, di samping menyuntik budaya pembelajaran berterusan dan pematuhan kepada piawaian global,” kata Yen Hau.
Dalam kenyataan sama, Sika Malaysia memaklumkan syarikat itu kini mempunyai rangkaian pengedaran ribuan cawangan runcit di seluruh negara, bagi produk jubin, kalis air dan renovasi, sekali gus memudahkan akses pengguna kepada penyelesaian pembinaan berkualiti.
Pertandingan ini disokong oleh Bosch, Penaja Hadiah Peralatan, dan Niro Ceramic Group, Penaja Jubin. Bosch menekankan kepentingan peralatan berkualiti tinggi dalam mencapai ketepatan dan konsistensi, manakala Niro menonjolkan bagaimana pemasangan yang cemerlang dapat memaksimumkan nilai reka bentuk dan teknikal jubin mereka.
Untuk terus menggalakkan amalan pemasangan jubin yang betul di rumah-rumah rakyat Malaysia, Sika Malaysia telah melancarkan Tile Grout Makeover Giveaway, menawarkan peluang kepada 50 pemilik rumah untuk menyegarkan semula lantai mereka menggunakan solusi nat jubin epoksi premium daripada Sika.
Pemilik rumah boleh mendaftar untuk makeover tersebut di sini .
Yen Hau menegaskan Pertandingan Tiler Kebangsaan hanyalah permulaan kepada usaha berterusan Sika Malaysia.
“Dengan menonjolkan nilai tukang jubin mahir, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai bakat muda untuk menceburi bidang ini dan meningkatkan standard industri. Matlamat kami mudah: mutu kerja lebih baik, bangunan lebih baik, dan ekosistem pembinaan yang lebih kukuh untuk Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program pertandingan tukang jubin global Sika yang telah dilaksanakan di pelbagai negara dan merangkumi peringkat akhir antarabangsa, edisi Malaysia yang mula diperkenalkan pada tahun 2025 mencerminkan komitmen menyeluruh syarikat untuk meningkatkan mutu kerja dan mempromosikan amalan pemasangan jubin yang betul di seluruh dunia. - DagangNews.com

