amree09/09/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Pengeluar kimia khusus dari Switzerland, Sika, menampikan ujian pelanggaran cermin depan secara langsung pertama di Malaysia yang menunjukkan kepentingan sistem pelekat dan pemasangan betul memastikan keselamatan pengguna ketika kemalangan.
Menurut kenyataan syarikat berkenaan, demonstrasi ujian yang diadakan di Makmal PC3 Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di Melaka itu menyaksikan sebuah kereta penumpang dilanggar pada halangan hadapan dengan kelajuan 48 kilometer sejam.
Ia menunjukkan bagaimana cermin depan yang dipasang dengan betul kekal pada kedudukannya ketika berlaku pelanggaran dan acara berkenaan turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Ujian Pelanggaran Cermin Hadapan Automotif Pertama di Malaysia 2026.
"Cermin depan merupakan sebahagian daripada struktur keselamatan kenderaan kerana ia membantu menyokong pengembangan beg udara, mengekalkan penumpang dalam kabin dan mengukuhkan struktur bumbung sekiranya berlaku kemalangan secara terbalik," tambah Sika.
Sebaliknya, penggunaan pelekat tidak sesuai atau pemasangan tanpa mengikut prosedur menyebabkan cermin tercabut ketika pelanggaran, sekali gus menjejaskan tahap perlindungan penumpang dan menjadi lebih kritikal dalam iklim Malaysia kerana tempoh kerja pelekat menjadi singkat.
Ketua Automotif dan Industri Sika Malaysia, Daphne Wong berkata, cermin depan sering ditukar berdasarkan pertimbangan harga dan kelajuan, sedangkan jenis pelekat serta kualiti pemasangan turut menentukan keupayaan cermin kekal pada kedudukannya apabila diperlukan ketika kemalangan.
Dalam demonstrasi itu, Sika menggunakan SikaTack® DRIVE, pelekat penggantian kaca automotif yang menawarkan tempoh Minimum Drive Away Time (MDAT) selama 60 minit dan diuji menggunakan patung ujian kemalangan persentil ke-95 mengikut piawaian FMVSS 212 Amerika Syarikat (AS).

Ujar beliau, lebih 400,000 kenderaan di Malaysia dipasang dengan pelekat cermin depan setiap tahun, menunjukkan skala penggunaan produk itu dalam pasaran penggantian kaca automotif tempatan namun keupayaan untuk kekal pada tempatnya ketika pelanggaran boleh diragui.
"Sika telah membangunkan rumusan ikatan cermin depan untuk industri automotif sejak 1980 dan menjalankan lebih 80 ujian pelanggaran sepanjang lebih empat dekad bagi mengesahkan tahap keselamatan penumpang selepas penggantian cermin," katanya.
Bagi meningkatkan kualiti pemasangan di peringkat bengkel, Sika Malaysia mengendalikan 'Certified Auto Glass Installer Program', untuk melatih dan memperakui pemasang cermin untuk menggunakan pelekat Sika serta mematuhi prosedur pemasangan yang ditetapkan.
Pada masa sama, Sika Malaysia melancarkan 'Sika Certified Auto Glass Installer Campaign' bagi menggalakkan pemilik kenderaan memilih bengkel bertauliah ketika menggantikan cermin depan, dan menegaskan penggantian cermin bukan sekadar kerja menukar kaca.
Sebaliknya jelas kenyataan tersebut, prosedur keselamatan yang memerlukan pelekat, kaedah aplikasi dan kemahiran pemasangan secara tepat sebenarnya amat perlu demi memastikan nyawa pengguna dapat dilindungi jika berlaku kes kemalangan pelanggaran tidak dijangka.
"Bermula 15 September hingga 31 Disember 2026, pelanggan yang menggantikan cermin depan di bengkel bertauliah Sika boleh menyertai cabutan bertuah bulanan dengan menghantar gambar papan tanda Sika Certified Auto Glass Installer bersama resit kepada Sika Malaysia," katanya. - DagangNews.com




