amree21/09/2026 - 14:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Sikap pengguna yang semakin berhati-hati dalam berbelanja, khususnya melalui saluran butik dan gedung beli-belah, menyebabkan hasil Carlo Rino Group Berhad (CRG) merosot 42.46% secara suku ke suku (QoQ) kepada RM17.62 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2026 (4QFY26).
Penyusutan itu turut mencerminkan tekanan persekitaran peruncitan fesyen yang semakin mencabar dengan hasil kumpulan jatuh 11.72% berbanding RM19.96 juta pada suku sama tahun sebelumnya, selain tiada dorongan bermusim daripada perayaan utama seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi suku tersebut turut terjejas akibat pengiktirafan kerugian penurunan nilai aset sebanyak RM2.84 juta, terdiri daripada RM2.07 juta bagi aset hak penggunaan (ROU), serta RM0.77 juta yang melibatkan hartanah, loji dan peralatan (PPE).
"Susulan tekanan itu, Carlo Rino mencatatkan kerugian bersih RM1.13 juta bagi 4QFY26 berbanding keuntungan bersih RM1.31 juta pada 4QFY25. Kumpulan turut mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) RM1.74 juta berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) RM1.86 juta sebelumnya," katanya.
Ujarnya, bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), keuntungan bersih kumpulan itu susut kepada RM9.87 juta daripada RM15.67 juta pada FY25, manakala hasil tahunan turun kira-kira 3.04% kepada RM95.87 juta berbanding sebanyak RM98.87 juta.
Jelasnya, walaupun saluran fizikal berdepan tekanan, segmen e-dagang terus mencatat pertumbuhan apabila hasil meningkat 15.68% kepada RM20.74 juta berbanding hanya RM17.93 juta pada FY25, menunjukkan perubahan corak pembelian pengguna ke saluran dalam talian.

Carlo Rino berkata, prestasi suku keempat dipengaruhi antara lain oleh tekanan inflasi dan sikap berhati-hati pengguna dalam perbelanjaan. Keadaan itu memberi kesan khusus kepada prestasi saluran fizikal, termasuk butik dan gedung membeli-belah.
"Dalam perkembangan korporat, kumpulan ini turut mengulangi kenyataan pada 6 Ogos 2026 apabila memutuskan untuk menarik balik permohonannya bagi memindahkan penyenaraian saham daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad," katanya.
Sementara itu, lembaga pengarah kumpulan tersebut berdasarkan prestasi semasa turut mengumumkan dividen interim satu tingkat sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2027, yang dijadualkan dibayar kepada pemegang saham pada 25 September 2026.
Bagi prospek masa depan, Carlo Rino menjangkakan landskap peruncitan fesyen tempatan kekal mencabar dan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos secara berhemah serta pengoptimuman rangkaian premis.
Kumpulan berkata langkah tersebut bertujuan memperkukuh daya tahan perniagaan dalam menghadapi perubahan corak perbelanjaan pengguna, selain memastikan operasi kekal mampan dalam persekitaran pasaran yang mencabar. - DagangNews.com




