Sikap tamak, tidak amanah warga KDN ancam keselamatan

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sikap tamak, tidak amanah warga KDN ancam keselamatan

PUTRAJAYA: Sikap tamak dan tidak amanah warga Kemente­rian Dalam Negeri (KDN) sehingga sanggup ‘mensabotaj’ sistem keselamatan seperti MyIMMS, boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman berkata, disebabkan sikap tamak dan pentingkan diri, individu ber­kenaan sanggup bertindak mengkhianati negara dengan me­lakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Antaranya, memberikan visa kepada warga asing hingga tinggal melebihi tempoh dan me­meras ugut warga asing hingga kejadian itu tular.

“Ada satu perkara lagi yang saya fikir sangat tidak wajar untuk kita lakukan adalah ada warga kita sendiri yang menggodam sistem MyIMMs yang sepatutnya kita sendiri mempertahankan. Apa benda sebenarnya yang kita buat ini?

“Kalau sistem MyIMMs digo­dam, rosak, tidak boleh berfungsi dan sebagainya, orang luar bebas untuk masuk ke negara kita tanpa rekod, tanpa semakan apa-apa. Ini kerja yang gila.

“Tugas kita di KDN adalah sebagai benteng utama ataupun benteng terakhir negara dalam mempertahankan keselamatan dalam negeri. Tapi kita sendiri yang godam sistem itu,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini semalam.

Menurut beliau, individu yang bekerja di bawah KDN sepatutnya mempunyai semangat untuk mempertahan­kan negara, bukannya me­ngambil kesempatan untuk merosakkan sistem serta menjejaskan keselamatan negara.

“Kalau inilah yang menjadi hasrat kita dengan harapan kita boleh dapat pulangan yang banyak daripada itu, keluarlah dari KDN.

“Kita nak orang yang ada dalam KDN adalah orang yang benar-benar menghayati ataupun ada semangat untuk mempertahankan negara ini daripada apa-apa unsur yang sedemikian.

“Kita tidak mahu ada orang yang duduk dalam KDN tapi mengambil kesempatan untuk menghancurkan negara sendiri dengan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, setiap warga KDN perlu melaksanakan amanah dengan sebaik-baik­nya bagi memastikan negara sentiasa berada dalam keada­an selamat sebelum diserahkan kepada generasi akan datang.

“Jangan fikir bahawa negara ini negara kita dan ia akan berakhir dengan kita. Bila kita meninggalkan negara ini maka negara ini berakhir, tidak. Negara ini hanya berakhir selepas kita menyerahkan kepada ge­nerasi-generasi yang seterus­nya,” katanya.

Sementara itu, berucap di majlis sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara melibatkan pelbagai kementerian dan agensi akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata, pelan itu dirangka susulan arahan Kabinet bagi memperkukuhkan aspek kawalan di pintu masuk negara selain mengelakkan insiden yang boleh menjejaskan imej negara daripada berulang.

Menurut beliau, kertas Kabinet berhubung perkara itu telah ditandatangani semalam dan akan dibentangkan secara bersama dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Saya ucap terima kasih banyak-banyak kepada Ketua Setiausaha (KSU). Betul-betul dua minggu selepas saya sampaikan arahan Kabinet dalam mesyuarat pasca-Kabinet bahawa Kabinet mengarahkan supaya diangkat satu syor pelan komprehensif untuk menambah baik hal kawalan pintu masuk yang melibatkan pelbagai agensi.

“Alhamdulillah, baru sema­lam (kelmarin) saya tandatangan kertas Kabinet dan insyaAllah esok saya akan bentangkan secara bersama dengan rakan saya, Menteri Pengangkutan kerana ada elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara aspek yang diberi perhatian dalam pelan tersebut ialah penyelarasan antara agensi bagi memastikan tiada lagi amalan bekerja secara berasingan atau ‘in silo’.

“Dalam masa dua minggu saya hargai kerjasama KSU dan ketua-ketua agensi di bawah KDN dan juga agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan agensi lain sehingga esok membolehkan kita untuk membentangkan satu pelan.

“Bahawa perlu ada elemen penyelarasan yang baik. Maksudnya tak boleh ada elemen bekerja secara in-silo,” katanya.

Saifuddin berkata, kerajaan turut meneliti keperluan untuk meningkatkan kompetensi sumber manusia selain menambah baik aspek infrastruktur di pintu masuk negara. – UTUSAN 

The post Sikap tamak, tidak amanah warga KDN ancam keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved