`Ada warga kita sendiri yang menggodam sistem MyIMMs’

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 12:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman mengingatkan warga kementerian itu supaya tidak mengkhianati negara dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, tindakan seperti membenarkan warga asing tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan menerusi visa yang diberikan selain memeras ugut warga asing sehingga kejadian itu tular adalah berpunca daripada sikap tamak.

“Kesemua ini dilakukan kerana sifat tamak yang ada dalam diri. Saya fikir kalau kita berpegang kepada integriti bahawa perkara-perkara ini tidak baik untuk masyarakat untuk negara dan sebagainya, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang sedemikian,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Alik turut menyifatkan perbuatan sindiket yang menggodam sistem MyIMMs yang turut melibatkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai tindakan yang tidak wajar.

Jelas beliau, walaupun peringatan telah diberikan, isu integriti ini masih berlaku.

“Ada satu perkara lagi yang saya fikir sangat tidak wajar untuk kita lakukan adalah ada warga kita sendiri yang menggodam sistem MyIMMs yang sepatutnya kita sendiri mempertahankan. Apa benda sebenarnya yang kita buat ini?

“Kalau sistem MyIMMs digodam, rosak, tidak boleh berfungsi dan sebagainya, orang luar bebas untuk masuk ke negara kita tanpa rekod, tanpa semakan apa-apa. Ini kerja yang gila. Tugas kita di KDN adalah sebagai benteng utama ataupun benteng terakhir negara dalam mempertahankan keselamatan dalam negeri. Tapi kita sendiri yang godam sistem itu,” katanya.

Menurut beliau, individu yang bekerja di bawah KDN sepatutnya mempunyai semangat untuk mempertahankan negara, bukannya mengambil kesempatan untuk merosakkan sistem serta menjejaskan keselamatan negara.

“Kalau inilah yang menjadi hasrat kita dengan harapan kita boleh dapat pulangan yang banyak daripada itu, keluarlah dari KDN.

“Kita nak orang yang ada dalam KDN adalah orang yang benar-benar menghayati ataupun ada semangat untuk mempertahankan negara ini daripada apa-apa unsur yang sedemikian.

“Kita tak nak ada orang yang duduk dalam KDN tapi mengambil kesempatan untuk menghancurkan negara sendiri dengan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, setiap warga KDN perlu melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya bagi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada generasi akan datang.

“Jangan fikir bahawa negara ini negara kita dan ia akan berakhir dengan kita. Bila kita meninggalkan negara ini maka negara ini berakhir, tidak. Negara ini hanya berakhir selepas kita menyerahkan kepada generasi-generasi yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN

The post `Ada warga kita sendiri yang menggodam sistem MyIMMs’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved