“Silap anak saya, dia ambil tindakan sendiri” – Bapa Suspek Bunuh Nur Farah Kartini

17 Jul 2024 • 11:14 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Keluarga suspek yang terlibat dalam pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, terima ujian yang menimpa mereka dengan seadanya.

Bapa kepada suspek berkata, apa yang salah tetap salah dan anaknya harus menerima hukuman seandainya benar dia bersalah biarpun berat untuk mereka sekeluarga menerimanya.

Jelasnya, suspek yang telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 4 tahun itu merupakan seorang anak yang bertanggungjawab selain menjadi harapan keluarga memandangkan dalam adik-beradiknya, dia dan seorang lagi kakaknya yang bekerja dalam sektor awam.

Jelasnya lagi, suspek yang sedang bercuti sejak Rabu lepas hingga Rabu ini datang ke rumahnya di Sungai Rambai pada Khamis lalu sebelum mendapat panggilan untuk segera pulang ke balai dia bertugas.

image is not available

“Ketika itu dia tak banyak bercakap dan kelihatan sugul sebelum bergerak pulang.”

“Apa pun saya terima seadanya, kalau apa-apa yang terjadi ini kehendak takdir ALLAH, saya percaya pada takdir ALLAH.”

Dalam pada itu, dia berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut.

“Silap anak saya, dia tidak membuat laporan polis bila diugut dan mengambil tindakan sendiri.”

image is not available

Mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu ditemukan pada petang Isnin. Mangsa didapati hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Perak.

Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu yang dikenali ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor, pada 6 petang. Polis kemudian menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 26 tahun. Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber : Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.