Silap Siar Data Hampir 12,000 Pemohon, UiTM Mohon Maaf

10 May 2023 • 11:14 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Senarai data lebih 12,000 pemohon UiTM yang didakwa bocor. - Tangkap layar dari Twitter @imraimy

KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi MARA (UiTM) memohon maaf  dan mengambil maklum dakwaan mengenai kebocoran data membabitkan hampir 12,000 pemohon universiti berkenaan.

Menerusi akaun Twitter rasminya, UiTM mengesahkan pautan kepada senarai sebanyak 11,891 nombor pengenalan dan e-mel pemohon tersebut tidak lagi aktif  dan kemas kini telah dilakukan.

“Pautan kepada senarai tersebut tidak lagi aktif dan kemaskini telah dilakukan.

“Pihak UiTM mohon maaf di atas kesilapan yang berlaku. Terima kasih,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang pengguna Twitter, @imraimy mendakwa UiTM baru sahaja menyiarkan nombor kad pengenalan dan e-mel kira-kira 11,891 pemohon sebagai pautan tidak selamat.

Dakwanya lagi, maklumat nombor kad pengenalan dan alamat e-melnya turut didapati dalam senarai berkenaan.

Semakan di laman Twitter milik pengguna itu menunjukkan beberapa tangkap layar senarai seperti didakwa.

Menurut pengguna Twitter itu, pautan tersebut dikongsi dengan pelajar untuk menyemak butiran peribadi mereka menerusi fungsi carian di pelayar internet.

Beberapa pengguna media sosial mengkritik UiTM susulan kesilapan itu dan menyifatkan pihak universiti sebagai cuai.

“Hanya mohon maaf? Kesilapan telah dilakukan. Scammers mungkin sudah memuatnaik data tersebut. Orang itu (pemohon) patut saman kamu!” kata Elise.

Tidak kurang juga terdapat netizen yang mempertikaikan mengapa UiTM tidak menggunakan perisian memproses data yang dipercayai bagi menyimpan maklumat sensitif.

“Parah betul dengan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan data peribadi ini sampai universiti pun buat tayang data kat internet macam dia letak kat papan kenyataan depan pejabat pentadbiran je,” kata BomohCompSc. – Getaran, 10 Mei 2023