Sim: Kedah Agro diberi notis bayar gaji tertunggak kepada 24 pekerja

13 Mar 2024 • 3:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Kedah Agro Holdings Bhd telah diberikan notis Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKM) untuk segera membuat pembayaran kepada 24 pekerjanya yang tidak menerima gaji sejak September tahun lepas.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata notis berkenaan dikeluarkan Januari lepas selepas JTKM mengesahkan isu dihadapi pekerja syarikat berkenaan yang merupakan anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar.

“Tindakan majikan tidak membayar gaji melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955,“ katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Terdahulu, tular melalui media sosial surat didakwa dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Kedah berkaitan aduan isu bayaran gaji serta pengoperasian Kedah Agro.

Sim berkata syarikat itu berjanji akan menyelesaikan segera isu berkenaan dengan memohon bantuan daripada kerajaan negeri.

“Mereka (majikan) janji akan minta bantuan kerajaan negeri dan (mengadakan) mesyuarat hari ini dengan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor). Harap kerajaan negeri ambil berat terhadap perkara ini,“ katanya.

Sim berkata pendirian Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ialah pekerja berhak ke atas gaji dan kementerian tidak akan berkompromi dalam isu itu. -Bernama