
Kota Kinabalu: Seramai kira-kira 15,000 orang daripada pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis penutupan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 di Padang Merdeka pada Jumaat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sambutan yang kini memasuki tahun ke-20 ini telah berkembang menjadi simbol perpaduan, jambatan persaudaraan, serta manifestasi keharmonian yang dinikmati rakyat Sabah.
“Sambutan Krismas Sabah 2025 mencerminkan semangat terbuka dan inklusif serta penyertaan semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri yang menekankan pembangunan seimbang, kesejahteraan sosial, perpaduan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan perpaduan di kalangan rakyat kekal kukuh bagi membawa pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam semasa majlis tersebut.
Beliau turut menyeru semua rakyat Sabah supaya terus memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum untuk merealisasikan visi serta misi pembangunan Kerajaan Negeri.
“Sabah merupakan tanah air rakyat berbilang etnik, bahasa dan kepercayaan agama yang hidup bersama secara harmoni. Ini mencerminkan perpaduan kolektif yang menegakkan keharmonian, toleransi dan saling memahami.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua budaya dan sambutan keagamaan dihormati sejajar dengan semangat keharmonian dan kepelbagaian Sabah, termasuk dengan menyediakan peruntukan bagi meraikan kepelbagaian ini,” katanya.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk memacu ekonomi rakyat dan negeri, dengan penekanan kepada pendidikan serta pembangunan modal insan.
