Sime Darby Motors lancar akademi latihan komprehensif bagi perkasa tenaga kerja industri automotif

11 Aug 2023 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Motors lancar akademi latihan komprehensif bagi perkasa tenaga kerja industri automotif

zulfadli

11/08/2023 - 14:46

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sime Darby Motors, Retail & Distribution melancarkan Akademi Runcit dan Pengedaran, yang mensasarkan untuk memperkasa keseluruhan tenaga kerjanya dengan kemahiran dan pengetahuan terkini dalam industri automotif yang pesat berkembang.

Terletak di kompleks automotif canggih Sime Darby Motors City, akademi berkenaan akan menjadi teraju penting bagi usaha Sime Darby Motors untuk mencapai kecemerlangan dan menjadi pelopor industri automotif Malaysia.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan berkata, pihaknya sentiasa komited untuk mencapai kecemerlangan dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada semua pelanggan.

"Akademi Runcit dan Pengedaran baharu ini akan menjadi platform penting bagi inovasi dan meningkatkan kemahiran, membolehkan kami untuk menstrukturkan program latihan untuk menggalakkan pembelajaran berterusan.

"Ia juga akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan kepada teknologi dan corak akan datang serta membuat persiapan untuk cabaran masa depan sebagai sebuah organisasi.

"Selain itu ia juga sebagai jenama yang kami wakili untuk kekal mendahului di depan dalam persaingan ini serta mampu menyesuaikan diri mengikut perubahan dan permintaan pasaran dengan lebih cekap," katanya dalam kenyataan media di sini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pengarah Urusan Sime Darby Auto Bavaria, Vi Thim Juan; Pengarah Urusan, Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri; Ketua Sumber Manusia Sime Darby Motors Malaysia, Keshmahinder Singh; Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion-Ford, Turse Zuhair; Ketua Latihan Akademi Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors, Shahril Ahmad; Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors, Low Yuan Lung, dan Ketua Pengedar Sime Darby Swedish Auto, Jeremy Cheong.

image is not available
(Dari kiri) Vi Thim Juan, Syed Ahmad Muzri, Keshmahinder Singh, Turse Zuhair, Jefrrey Gan, Shahril Ahmad, Low Yuan Lung dan Jeremy Cheong ketika majlis pelancaran Akademi Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors, baru-baru ini.

Tambah Gan, matlamat mereka adalah mengembangkan akademi sebagai hab latihan serantau bagi operasi runcit dan pengedaran di seluruh Asia Tenggara untuk menggalakkan semangat kolektif dalam pembelajaran, memupuk pertumbuhan bergema merentasi sempadan dan dapat mengubah kehidupan.

Sebagai tambahan kepada sembilan kelas yang mampu menampung sehingga 163 pelatih, akademi berkenaan juga memanfaatkan kemudahan dan kelengkapan berkelas dunia yang ada di Sime Darby Motors City sebagai sumber latihannya.

Latihan disediakan menerusi dua teras utama program pensijilan. Yang pertama melibatkan latihan teknikal dan bukan-teknikal untuk menepati keperluan Pensijilan Prinsipal.

Teras kedua ialah program latihan Sime Darby Motors, yang memberi tumpuan terhadap pembangunan bakat untuk mempertingkatkan kemahiran berorganisasi dan pengetahuan.

Ini termasuklah kemahiran insaniah seperti pembangunan peribadi dan profesional, pemerkasaan kemahiran, khidmat pelanggan, teknik mendapatkan jualan dan banyak lagi.

Untuk memastikan tenaga kerja berdaya maju dan berkemahiran tinggi untuk jualan kenderaan elektrik (EV) serta khidmat lepas jualannya, akademi ini turut dilengkapi dengan kenderaan latihan, perkakas latihan, makmal komputer dan lain-lain kelengkapan yang berkaitan EV untuk membolehkan pekerja membangunkan kemahiran mereka seiringan. - DagangNews.com