Usaha baharu Sime Darby Property dalam tenaga solar pertingkat penggunaan bank tanah bukan teras – RHB Investment
diyana
31/07/2023 - 12:30
KUALA LUMPUR 31 Julai - RHB Investment sambut baik usaha baharu Sime Darby Property Berhad dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) solar yang akan mempertingkatkan penggunaan bank tanah bukan terasnya yang mempunyai peluang pembangunan terhad.
“Walaupun tenaga boleh diperbaharui (RE) solar Sime Darby Property tidak mungkin mempunyai kesan yang ketara ke atas pendapatan jangka pendek, kami menyukai usaha pengurusan untuk meningkatkan penggunaan bank tanah bukan terasnya yang mempunyai peluang pembangunan terhad, daripada membiarkannya kosong selama bertahun-tahun.
“Memandangkan penggunaan bank tanahnya yang lebih cekap, harga sasaran (TP) baharu kami kini berdasarkan diskaun 70% kepada RNAV (aset bersih dinilai semula) (berbanding 75%) dan premium ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) 4% sambil kami meningkatkan skor ESG syarikat kepada 3.2 daripada 3.1,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 67 sen sesaham daripada 55 sen.
Mengulas lanjut perkembangan ini, RHB Investment berkata usaha baharu kumpulan tersebut dalam RE solar menyasarkan pengguna industri, komersial dan runcit di seluruh perbandarannya, di mana ia boleh menjadi penjana, pengedar dan pembeli tenaga suria.
Di samping itu, trend peningkatan RE di peringkat global menyaksikan semakin ramai pemaju mengambil bahagian dalam penjanaan tenaga solar.
“Kami percaya hanya pemaju dengan bank tanah yang besar - terutamanya dengan plot tanah di kawasan terpencil tanpa peluang pembangunan jangka pendek - dapat mengambil bahagian dalam penjanaan tenaga solar. Ini biasanya pemaju syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan Sime Darby Property adalah salah satu daripadanya,” jelasnya.
RHB Investment berpendapat bahawa usaha Sime Darby Property dalam tenaga boleh diperbaharui masuk akal kerana syarikat pada masa ini mempunyai seluas 2,428 hektar tanah bukan teras, daripada 7689 hektar bank tanah dalam portfolio.
Selain itu, firma itu berpendapat bahawa usaha sama berpotensi membantu membiayai belanjawan, di mana kumpulan itu dijangka mendapatkan pembiayaan untuk belanja modal pertanian solar daripada beberapa pelabur strategik, yang berpotensi menggunakan struktur yang sama sebagai kerjasama dengan LOGOS.
Firma itu turut berkata pembiayaan hutang berdaya maju kerana lebih banyak bank komersial menawarkan pembiayaan hijau di Malaysia pada kadar faedah yang lebih murah sedikit.
Pada waktu penulisan, saham Sime Darby menokok 2.5 sen atau 4.3% kepada 61 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM4.1 bilion. - DagangNews.com





