
Simpan SSPN Melalui Program Anak Emas Beri Sinar Masa Depan Pendidikan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan kerjasama strategik melalui Program Anak Emas mulai 15 Januari 2024. Program Anak Emas merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memberikan bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur (2) tahun ke bawah dengan syarat salah seorang ibu atau bapa kepada bayi yang dilahirkan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di negeri Pulau Pinang. Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM100 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM100 lagi dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon yang layak.
Bagi menguar-uarkan inisiatif Program Anak Emas, PTPTN telah mengadakan Program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi bertempat di Hospital Sebarang Jaya, Pulau Pinang. PTPTN berbesar hati memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada bulan Oktober 2025. Sumbangan ini melibatkan pembukaan/ penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.
Program ini telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang. Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBhg. Dato’ Ong Bee Leng, Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Women’s Development Corporation (PWDC), YBrs. Dr. S. Shameni a/p S. Sunasundram, Pengarah Hospital Seberang Jaya, Pengurusan PTPTN dan Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang berkata, “Saya gembira pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Dalam tempoh 15 Januari 2024 hingga 30 September 2025, sebanyak 7,771 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan berjumlah RM777,100.”
“Tahniah kepada masyarakat Pulau Pinang kerana menjadi superhero kepada anak-anak melalui usaha menabung secara konsisten dalam Simpan SSPN. Justeru, saya menyeru golongan ibu bapa di negeri ini agar merebut peluang memohon insentif melalui Program Anak Emas yang ditawarkan,” tambah beliau lagi.
Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, “Saya merakamkan penghargaan kepada YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang atas komitmen yang diberikan dalam membudayakan amalan penabungan melalui Program Anak Emas. Adalah diharapkan agar kerjasama ini akan terus berkekalan demi kebajikan pendidikan anak-anak. Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri atas usaha murni ini.”

Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000.00 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah. Sejak diperkenalkan pada tahun 2004 sehingga 30 Ogos 2025, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun yang telah dibuka.
Sebagai institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sentiasa komited dalam mendukung agenda pendidikan negara, PTPTN akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat. Maklumat lanjut dan permohonan Program Anak Emas boleh dibuat secara dalam talian melalui isejahtera.penang.gov.my.
The post Simpan SSPN Melalui Program Anak Emas Beri Sinar Masa Depan Pendidikan appeared first on Siakap Keli.



