Kit pembangunan teknologi bukanlah sesuatu yang baru. Banyak syarikat teknologi terkemuka seperti Apple, Sony, Qualcomm dan sebagainya telahpun memperkenalkan konsep PC kecil ini yang boleh digunakan untuk membangunkan teknologi baru untuk platform-platform tertentu.
Terkini, Simply NUC, salah satu syarikat yang masih lagi membangunkan komputer NUC (Next Unit of Computing) yang bersaiz padat telah memperkenalkan kit pembangunan teknologi AI mereka tersendiri yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Meteor Lake dan dinamakan Revel Canyon.

Kit pembangunan ini menggunakan rangka PC kerdil NUC yang sudahpun dikenali ramai, dan tampil dikuasakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H, bersama-sama dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.
Dari segi penawran palam, PC ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-C, tiga palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 2.0 Type-A dan dua palam HDMI 2.0 yang menyokong resolusi paparan sebesar 7680 × 4320 pixel.
PC Revel Canyon ini dibangunkan berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh Intel melalui program Intel AI Developer Program mereka, dan PC ini hadir dengan tanda harga sekitar £949.00. Menurut Simply NUC, jika anda seorang pembangun dibawah program ini, anda juga layak untuk mendapatkan diskaun yang agak besar untuk sebuah kit pembangun AI ini.




